PETALING JAYA, 22 Mei (Bernama) -- Barisan pemain bola sepak kebangsaan
yang mewakili negara bagi mempertahan Piala AFF Suzuki, hanya akan
diketahui selewat-lewatnya Julai depan, kata Ketua Jurulatih kebangsaan
Datuk K. Rajagobal.
Beliau berkata beberapa lagi pemain berpotensi akan dipanggil menjalani
latihan pusat bagi melihat keserasian mereka beraksi di atas padang dan
membentuk pasukan untuk mempertahan piala yang dimenangi di Indonesia
pada 2010.
"Kemungkinan bulan depan atau bulan seterusnya saya akan melihat
beberapa lagi pemain sebelum saya memutuskan pemain mana yang akan
meneruskan latihan pusat sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki," katanya
kepada pemberita selepas sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Isnin.
Sejumlah 16 daripada 26 pemain dipanggil melapor diri untuk sesi latihan
pusat itu manakala bakinya akan menyertai mereka Sabtu ini.
Latihan pusat diadakan sebagai persiapan skuad kebangsaan menghadapi
tiga perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 1 Jun di Stadium
Shah Alam, serta dua perlawanan timbal balik menentang Singapura pada 8
Jun di Stadium Jalan Besar, Singapura, dan 12 Jun di Stadium Shah Alam.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment