Monday, June 18, 2012

Zulkifli Hir dipercayai masih hidup tapi cedera parah

Anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) kelahiran Muar, Zulkifli Hir, yang didakwa terbunuh dalam serangan udara tentera Filipina Februari lepas, dipercayai masih hidup tetapi cedera parah.

NONEMenurut sumber perisikan serantau, Zulkifli yang lebih dikenali dengan nama samarannya, 'Marwan', kini disembunyikan kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Jolo dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Sumber itu, yang enggan mendedahkan dirinya disebabkan maklumat tersebut amat sensitif, juga berkata kumpulan Abu Sayyaf yang melindungi Zulkifli kerap berpindah daripada satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelak dikesan.

"Mereka (kumpulan Abu Sayyaf) kerap berpindah kerana tekanan yang amat kuat (daripada tentera Filipina yang dibantu tentera Amerika Syarikat)," katanya.

- Bernama

Itali 'The Azzuri' iringi Sepanyol ke suku akhir




Skuad 'The Azzuri' bimbingan Cesare Prandelli menewaskan Ireland - yang sudah pun terkeluar daripada saingan - dengan jaringan 2-0 di Stadium City, Poznan, Poland.

Gol jaringan Itali dijaringkan oleh penyerang berbisa mereka, Antonio Cassano pada minit ke-35 selepas tandukannya yang terkena tangan penjaga gol Shay Given sebelum melantun melepasi garisan gol.

Gol kedua Itali dijaringkan oleh penyerang gantian, Mario Balotelli pada minit akhir perlawanan melalui satu sepakan gunting yang menarik hasil sepakan sudut.

Ini bermakna Ireland merupakan pasukan kedua - selepas Belanda - yang gagal mengutip mata selepas kalah semua tiga perlawanan dalam peringkat kumpulan.

Berbekalkan dua mata selepas seri dalam dua perlawanan sebelum ini, Itali mengutip lima mata, dan berada di tangga kedua kumpulan C selepas Sepanyol yang menewaskan Croatia dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

Pasukan Itali akan bertemu dengan pasukan juara kumpulan D pada 25 Jun ini.

Sementara itu, skuad Sepanyol yang dibimbing oleh Vicente Del Bosque, mengalahkan Croatia dengan jaringan tipis 1-0 di PGE Arena, Gdansk, Poland.

Gol tunggal skuad 'La Roja' itu dijaringkan oleh penyerang gantian Jesus Navas pada minit ke-88 hasil hantaran rakannya Andres Iniesta yang melepasi perangkap 'offside'.

Dengan kemenangan itu, skuad 'Matador' itu menjadi juara kumpulan C dengan mengutip tujuh mata dan bakal berdepan dengan naib juara kumpulan D pada 24 Jun ini.

-- Malaysiakini

Tuesday, June 12, 2012

Misi hidup mati Belanda





KHARKIV – Pertembungan antara Belanda dengan Jerman sentiasa memiliki keistimewaan tersendiri.
Namun, pada perhitungan awal pagi ini, kedua-dua pasukan mempunyai misi besar untuk disempurnakan.
Belanda akan berdepan dengan Jerman pada aksi kedua peringkat Kumpulan B kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012.
Jerman yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ketika menewaskan Portugal, berazam untuk meneruskan persembahan cemerlang itu bagi mengesahkan slot mereka ke suku akhir.
Belanda pula yang tewas 0-1 kepada Denmark pada perlawanan pembukaan, tiada pilihan lain kecuali menang pada perlawanan itu bagi menghidupkan peluang mereka untuk mara.
Hanya kemenangan yang akan menjamin skuad kendalian Bert van Marwijk itu untuk kekal lebih lama pada cabaran Euro kali ini.
Andai tewas, Belanda sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Euro 2012.
“Ini merupakan satu perlawanan yang cukup getir tetapi kami harus membuktikan Belanda mampu muncul sebagai juara pada edisi kali ini,” ujar pemain pertahanan Belanda, John Heitinga.
“Kami wajib memenangi perlawanan ini dan kami memang tiada pilihan lain kecuali meraih kemenangan.
“Kami juga harus berwaspada dengan ancaman Jerman.
“Apa yang kami mahu ialah tiga mata dan ia menjadi keutamaan kami ketika menentang Jerman.”
Pada aksi menentang Denmark Ahad lalu, van Marwijk telah merehatkan penyerang Schalke 04, Klaas-Jan Huntelaar yang menjaringkan 12 gol sepanjang lapan perlawanan pada sesi kelayakan Euro 2012.
Kini, van Marwijk yang terdesak untuk mencari kemenangan bakal menyenaraikan Hunterlaar dalam kesebelasan skuad utama Belanda.
Beliau dijangka menggugurkan Ibrahim Afellay yang tidak begitu memberangsangkan pada aksi menentang Denmark.
Sementara itu, penyerang sensasi Arsenal, Robin van Persie bakal diletakkan pada posisi sayap kiri manakala pertahanan utama Belanda, Joris Mathijsen dijangka membarisi skuad utama.
Sekiranya, Mathijsen tidak menghadapi masalah kecergasan, Ron Vlaar bakal menjadi pemain kedua yang digugurkan daripada skuad utama Belanda. – Reuters