Sunday, May 27, 2012

Konsert Lady Gaga Di Jakarta Akhirnya Dibatalkan

JAKARTA, 27 Mei (Bernama) -- Setelah agak lama menjadi kontroversi dan tidak ada kepastian, konsert bintang Hollywood Lady Gaga yang dijadualkan di Jakarta pada 3 Jun, akhirnya dibatalkan.

Pengarah Eksekutif Big Daddy Entertainment Michael Rusli berkata berita mengenai pembatalan itu diterima pihaknya pada pagi Ahad daripada pengurusan Lady Gaga.

"Pihak Lady Gaga akhirnya membatalkan setelah mempertimbangkan beberapa perkara, ini yang terbaik untuk individu-individu," katanya pada sidang akhbar di sini.

Pihak penganjur berkata mereka akan memulangkan sepenuhnya wang tiket yang telah dibeli orang ramai untuk menyaksikan konsert bertajuk "The Born This Way Ball Tour" itu di Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Prosedur pemulangan wang itu akan diumumkan pada Rabu. Lebih 50,000 tiket konsert itu telah dijual sebelum ini.

Peguam Big Daddy, Minola Sebayang berkata pengurusan Lady Gaga tidak mahu melihat ada yang cedera, sama ada di kalangan mereka sendiri atau penonton, berikutan ancaman beberapa pihak sebelum ini, jika konsert itu diteruskan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment