Monday, May 28, 2012

Asia Perlu Pikul Tanggungjawab Lebih Besar Demi Keselamatan Sendiri - Najib

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Asia perlu berani memikul tanggungjawab yang lebih besar demi keselamatan sendiri dan mewujudkan rangka kerja bagi memastikan keselamatan serta menjaga kepentingannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-26, yang bertemakan 'Orde Keselamatan dan Urus Tadbir Asia' di sini Isnin, Najib berkata Asia perlu mengubah cara pemikiran mereka yang sebelum ini diprogram untuk lebih memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi sehingga mengabaikan isu keselamatan.

"Meskipun kita menghargai bantuan rakan lain yang begitu banyak menyumbang kepada kestabilan serantau, Asia perlu berubah daripada sekadar menjadi pengguna kepada pengeluar bagi keselamatan," katanya.

Najib juga berkata jika Asia ingin berkuasa dalam arena politik global, ia tidak boleh mengelak daripada berterus-terang dan menyatakan pendirian berhubung isu sensitif seperti pelucutan senjata nuklear, pembinaan senjata serta pakatan ketenteraan.

"Asia perlu bangkit dan diberi perhatian," katanya.

Dalam merangka hala tuju Asia masa depan, Najib menggariskan dua pertimbangan penting iaitu pertama, hubungan mesti diasaskan pada satu spektrum yang luas dalam sesuatu bidang dan tidak hanya ditakrifkan oleh isu tunggal dan kedua, tidak ada ruang untuk permusuhan di Asia.

Najib berkata Asia tidak perlu obsesi kepada manfaat ekonomi semata-mata kerana ia boleh merosakkan kestabilan serantau jika terpaksa tunduk akibat kebimbangan ketenteraan.

"Lihat Asean sebagai contoh. Tiga tonggak iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio budaya perlu sama-sama kuat, jika tidak, kestabilan 10 anggota organisasi akan terancam.

"Asia tidak boleh berdiri dengan sebelah kaki; ia perlu memperkukuh asas penubuhannya, dan ini membabitkan, antara lain, mengeratkan hubungan antara rakyat," katanya.

Najib berkata Asia tidak seharusnya membenarkan konflik dan perebutan kuasa sekali lagi memecah-belahkan mereka.

"Apa yang kita perlukan ialah kerjasama, dan syukurlah ia senang didapati di rantau Asia," katanya.

Beliau berkata sejak 1967, Asean mengiktiraf nilai kestabilan dan telah mengasaskan hubungan berdasarkan prinsip saling menghormati serta 'memakmurkan jiran,' dan semangat kerjasama yang dipelopori itu diperluas di luar Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata Asia menolak ekstremisme dalam semua bentuk, namun apabila terdapat perbezaan yang ketara, mengakui suara golongan terpencil perlu didengari.

"Meminggirkan pendapat yang berbeza adalah tidak produktif dan hanya akan menyebabkan rungutan lama kekal serta menimbulkan masalah baharu," katanya.

Najib berkata sememangnya mudah untuk melaungkan nasihat berhubung keamanan dan penyelesaian pertikaian secara aman.

"Namun, untuk melaksanakannya bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Memetik kata-kata negarawan British iaitu Winston Churchill iaitu 'to jaw-jaw is better than war-war', Najib berkata perbezaan boleh diatasi menerusi komunikasi dan dialog.

Beliau berkata Asia akan melakukan kesilapan jika hanya memfokus kepada kejayaan ekonomi semata-mata kerana kemakmuran ekonomi Asia sememangnya diiringi kesan sampingan yang membimbangkan.

"Sejarah telah membuktikan ada negara yang bertindak memperkukuh pertahanan dan kuasa ketenteraan mereka apabila bertambah kaya. Lima negara teratas di Asia yang menjadi penerima pemindahan senjata dari 2007 hingga 2011 ialah India, Korea Selatan, Pakistan, China dan Singapura," katanya.

Najib berkata negara terbabit menyumbang sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan senjata import antarabangsa.

Beliau juga berkata Asia tidak boleh memandang ringan isu perlindungan bagi keamanan serta keselamatan rantau ini, dan ia perlu mengambil langkah proaktif ke arah pembinaan komuniti keselamatan majmuk di mana penggunaan kekerasan bukan satu pilihan.

"Kita tidak boleh bergantung semata-mata terhadap pengumuman persahabatan dan niat untuk keamanan, kita perlu mencari jalan menyelesaikan masalah sendiri serta berkompromi dengan kepentingan yang berbeza, jika ia berlaku," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment