Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Timbalan
Presiden, Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham
Shaharin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan
mengambil bahagian dalam protes jalanan, di bawah Akta Perhimpunan
Aman.
Anwar bersama dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Mahkamah Sesyen 5 pada jam 9.15 pagi.
Bekas
peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden - yang mengetuai pasukan
pendakwa dalam kes Liwat 11 terhadap Anwar - kali ini bersama peguam
kanan Karpal Singh dalam pasukan peguambela ketua pembangkang itu. Mohd
Yusof meletak jawatan dari Jabatan Peguam Negara pada akhir perbicaraan
kes liwat tersebut.
Anwar memberitahu Hakim Mahmud Abdullah
bahawa pertuduhan tersebut adalah satu lagi kempen "politik"
terhadapnya, dan dia tidak mengaku bersalah.
Peguam Karpal dan
Yusof, meminta Anwar dibenarkan bon peribadi tetapi ia dibantah oleh
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad.
Hakim mengarahkan ikatjamin RM500 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Sementara
itu, Azmin yang diwakili oleh peguam Sivarasa Rasiah dan Gurcharan
Singh, dan Badrul Hisham, yang diwakili oleh peguam Latheefa Koya, juga
telah dikenakan ikatjamin RM500 jamin setiap.
Ketiga-tiga mereka
merupakan yang pertama didakwa di bawah Akta Berhimpun Aman yang
diluluskan baru-baru ini, di mana Anwar dan Azmin boleh kehilangan
jawatan mereka sebagai wakil rakyat jika didapati bersalah.
Mereka
boleh didenda RM10,000 jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut.
Wakil rakyat secara automatik hilang jawatan jika disabit oleh mahkamah
dan didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.
Mereka
dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa
mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0 dan melanggar
perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang
perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan
Sultan Hishamuddin , Jalan Raja dan Jalan Kelab.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.
Mereka
juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu
bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas,
dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju,
Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah
mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir
pada 26 April.
Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam,
Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang
mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.
-- Malaysiakini
No comments:
Post a Comment