WUHAN – Keutuhan ‘Tembok Besar China’ dalam sukan badminton dunia terlalu sukar untuk dirobohkan.
Buktinya, China berjaya mendominasi kempen Piala Thomas/Uber 2012.
Jika kelmarin, skuad wanita China muncul juara Piala Uber,
semalam giliran skuad lelaki pula mengungguli saingan Piala Thomas
apabila merekodkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.
Tampil selaku tuan rumah, China terlalu sukar untuk ditandingi
apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan pada final yang
berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan semalam.
Bintang sensasi China, Lin Dan berkata, kejayaan tersebut cukup
bermakna buat dirinya kerana dia sendiri tidak pasti sama ada masih
boleh beraksi atau tidak pada edisi berikutnya dua tahun akan datang.
“Banyak yang saya fikirkan malam tadi (kelmarin) sebelum turun beraksi hari ini (semalam).
“Saya sendiri tidak pasti berapa banyak lagi kempen Piala Thomas
yang saya boleh beraksi. Apa yang saya tahu, kali ini Piala Thomas
berlangsung di negara saya sendiri dan saya mahu memberikan aksi
terbaik.
“Setiap pemain pasti berasa gementar sebelum perlawanan.
“Semasa kamu masih muda, sudah pasti kamu cukup teruja untuk
turun beraksi kerana ia pertama kali kamu membarisi skuad negara.
“Namun, apabila kamu sudah tua, pasti banyak pihak meletakkan
sandaran di atas bahu kamu. Sebab itu, saya tidak boleh tidur lena malam
tadi (kelmarin),” kata Lin Dan sejurus tamat perlawanan semalam.
Pada aksi semalam, Lin Dan yang merupakan pemain No. 2 dunia
menyumbangkan mata pertama China apabila mengetepikan cabaran Lee Hyun
Il 21-14, 21-17.
Gandingan beregu No. 1 dunia, Cai Yun-Fu Haifeng meneruskan
rentak kecemerlangan Lin Dan apabila memastikan mata kedua China selepas
mencatat kemenangan ke atas Lee Yong Dae-Kim Sa Rang 21-16, 25-23.
Bintang muda China, Chen Long melengkapkan kemenangan China hasil kejayaan menewaskan Shon Wan Ho 21-9, 21-13.
Dengan kemenangan itu, China kini secara keseluruhannya telah
merekodkan sembilan kejuaraan pada kempen Piala Thomas sejak ia mula
diperkenalkan pada 1949 di Preston, England.
Sebelum ini, China menjulang trofi berprestij itu pada edisi 1982, 1986, 1988, 1990, 2004, 2006, 2008, 2010.
-- kosmo
No comments:
Post a Comment