Malaysia sedang mengusahakan bersama Jawatankuasa Palang Merah
Antarabangsa (ICRC) bagi membolehkan dua rakyatnya yang ketika ini
ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo dibebaskan dan dihantar pulang
ke negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein berkata beliau dimaklumkan kedua-dua tahanan itu, yang
ditahan tanpa dibicarakan sejak 2006, berkeadaan baik dan usaha
dilakukan bagi memastikan hak mereka dilindungi.
"ICRC
mempunyai kredibiliti antarabangsa, mereka mempunyai rangkaian, mereka
boleh memastikan, sebagai contoh, standard yang mereka harapkan turut
ada pada Malaysia, dan turut didukung oleh negara yang menahan rakyat
Malaysia," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas
menerima kunjungan hormat Ketua Operasi ICRC bagi Asia Timur, Asia
Tenggara dan Pasifik Alain Aeschlimann semalam.
Mohd Farik
Amin, 36, dari Kajang dan Mohd Nazir Lep, 35, dari Muar, ditahan di
Thailand pada Ogos 2003, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan
al-Qaeda, dan dipindahkan ke pusat tahanan Teluk Guantanamo pada 2006.
Hishammuddin
berkata selain kes tahanan Guantanamo, kerjasama dengan ICRC turut
meliputi kes membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di negara lain
kerana didakwa berperanan sebagai keldai dadah.
"Disebabkan
globalisasi, disebabkan taruhan tinggi yang terlibat, disebabkan jenayah
yang merentas sempadan sekarang, manusia dieksploitasi dan mereka
mungkin rasa menyesal tetapi ditahan di sebuah negara asing, mereka juga
mempunyai hak yang kita perlu lindungi," katanya.
Sementara
itu, Hishammuddin berkata beliau gembira dengan seluruh kerjasama antara
kementerian itu dan ICRC, dan beliau akan memastikan kerjasama itu
diteruskan.
Katanya bidang kerjasama itu antara lain
merangkumi isu kesihatan, menghubungkan antara keluarga yang mungkin
berubah tempat tinggal, tahanan kanak-kanak di bawah umur yang tidak
ditemani dan perkongsian untuk membantu dalam menanda aras Malaysia
dengan standard antarabangsa, katanya.
Sementara itu,
Aeschlimann berkata kerjasama antara ICRC dan kementerian berkembang
dengan baik, dan mereka turut menyediakan beberapa khidmat langsung bagi
memastikan tahanan di negara ini dilayan mengikut standard
antarabangsa.
- Bernama
No comments:
Post a Comment