Wednesday, August 3, 2011

Perlawanan Persahabatan Malaysia-Oman Ditunda

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Oman yang dijadual 10 Ogos ini telah ditunda.

Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata sementara menanti tarikh baru yang akan ditetapkan, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad "The Red Giants" Selangor.

Perlawanan persabahatan Harimau Malaya-Selangor itu akan diadakan pada pukul 10 malam, Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

Seramai 25 pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan persediaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Oman melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya.

-- BERNAMA

Myvi Baru Dapat Penarafan Empat Bintang MyVAP

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Myvi baru keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mendapat penarafan empat bintang Program Penilaian Kenderaan Malaysia Malaysia (MyVAP) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Dalam satu kenyataan Rabu, Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata penarafan berkenaan akan menambah keyakinan pembeli terhadap ciri-ciri keselamatan model itu.

"Ini merupakan model kedua Perodua selepas Alza menerima penarafan empat bintang MyVAP," katanya.

Aminar Rashid berkata penarafan itu membuktikan Myvi mencapai standard keselamatan yang tinggi yang juga mematuhi protokol tertentu Program Penilaian Kereta Baru Euro (ENCAP).

Beliau berkata penilaian MyVAP menumpu kepada tiga teras iaitu keselamatan aktif, keselamatan pasif dan 11 item di bawah Peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE).

"Bagi 11 item di bawah Peraturan UNECE termasuk keserasian elektro-magnetik, brek, dalaman, jangkaan luaran, peranti amaran pendengaran, halangan risiko kebakaran, speedometer, cermin pandangan belakan, kuasa stering, indikator dan visi hadapan," katanya.

Aminar Rashid berkata ujian dan pensijilan dijalankan oleh badan akreditasi ENCAP, IDIADA dan homologasi Eropah TUV Rheinland dan rakan teknologi Perodua, Daihatsu Motor Co Ltd mulai November tahun lepas hingga Julai 2011.

"Keputusan ujian dan pensijilan dinilai dan disahkan oleh Miros pada akhir Julai 2011," katanya.

MyVAP, dimulakan oleh Miros, merupakan program bagi menilai tahap keselamatan kenderaan di Malaysia dengan meningkatkan kesedaran di kalangan pemilik kereta tempatan bagi memiliki kenderaan yang selamat.

-- BERNAMA

Kad Hawa Tawar Perlindungan Insurans Hingga RM10,000

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Golongan wanita berumur 18 hingga 45 tahun kini berpeluang mendapat perlindungan insurans sehingga RM10,000 menerusi pemilikan Kad Hawa dengan kadar bayaran permulaan sebanyak RM10.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata Kad itu meliputi perlindungan ragut, kematian akibat kemalangan atau hilang keupayaan kekal, kehilangan wang tunai dan barang peribadi berharga serta rompakan di Mesin Pengeluaran Wang (ATM).

"Walaupun jenayah ini diklasifikasi sebagai jenayah kecil, ia juga boleh membawa maut seperti beberapa kes yang mendapat liputan akhbar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Hawa itu di sini.

Beliau berkata program dengan kerjasama RealRewards itu diperkenalkan khas bagi melindungi wanita yang sering menjadi sasaran utama dalam jenayah itu dan ia juga seiring dengan kempan Banteras Ragut dan Rogol (B2R) yang diperkenalkan pergerakan itu baru-baru ini.

Rosnah berkata perlindungan insurans untuk tahun pertama adalah percuma dan pemegang kad perlu memperbaharui kad itu untuk tahun seterusnya.

Selain itu, beliau berkata pemegang kad juga dapat mengumpul mata ganjaran dan memperoleh diskaun dari 1,300 rakan niaga RealRewards, antaranya KK Home Deco, Cars International, KL Bird Park dan beberapa syarikat produk kecantikan.

-- BERNAMA

UPP Rampas 1,000 Liter Minyak Bersubsidi Dipercayai Cuba Diseludup Ke Negara Jiran

PADANG BESAR, 4 Ogos (Bernama) -- Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis merampas 1,000 liter bersubsidi yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran selepas menyerbu sebuah gudang di Kampung Kolam dekat sini Rabu.

Komandernya DSP Zakaria Abdul Rahman berkata pasukan UPP Padang Besar minyak itu ditemui oleh pasukan UPP Padang Besar yang diketuai oleh komandernya ASP Noor Janihan Nanyan, selepas memeriksa premis tidak bernombor itu yang sebelum ini juga pernah diserbu oleh pasukan itu.

Beliau yang ditemui di Kem UPP Padang Besar berkata penyeludup terbabit menambat seekor anjing garang di hadapan gudang itu untuk berkawal, dan ia menyebabkan kehadiran pihak berkuasa di premis tersebut pada kira-kira pukul 12 tengah hari, disedari lebih awal oleh penyeludup berkenaan.

Menurutnya penyeludup dipercayai terdiri daripada tiga lelaki tempatan yang dilihat melarikan diri ke dalam semak selepas anjing itu menyalak dengan kuat apabila melihat ketibaan pihak berkuasa.

Zakaria berkata petrol dan barang-barang yang berkaitan termasuk tangki, tong drum, tong plastik dan alat penyedut minyak telah dirampas dan dibawa ke Kem UPP Padang Besar, dan beliau menganggar nilai rampasan itu RM5,280 termasuk petrol bersubsidi yang bernilai RM1,900.

Beliau berkata semua barang kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut, dan kes sedang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA