Wednesday, November 23, 2011

PM bentang usul tarik balik perisytiharan darurat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan usul di Dewan Rakyat hari ini untuk menarik balik tiga perisytiharan darurat yang masih berkuat kuasa selepas lebih daripada 40 tahun ia digubal.

Perisytiharan darurat itu adalah:

* Perisytiharan Darurat 1966 di Sarawak bagi menyelesaikan pertikaian politik di negeri itu.

* Perisytiharan Darurat 1969 di Persekutuan bagi menamatkan rusuhan di antara orang Melayu dan bukan Melayu pada 13 Mei 1969.

* Perisytiharan Darurat 1977 di Kelantan bagi menyelesaikan pertikaian politik ketika di bawah pemerintahan PAS.

Speaker Pandikar Amin Mulia semasa menangguhkan persidangan Dewan Rakyat malam semalam berkata usul berkenaan akan dibentangkan selepas sesi soalan pagi ini. Ia susulan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 (Bajet 2012) lewat malam tadi.

Undang-undang yang masih berkuatkuasa itu membolehkan polis menggunakan kuasa-kuasa khas yang diperuntukkan dalam Ordina Darurat bagi menangkap dan menahan orang ramai tanpa perlu dibicarakan.

najib special address malaysia day 150911Najib pada malam 15 September lalu sempena perutusan Hari Malaysia, mengumumkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang dianggap tidak lagi relevan hari ini.

Katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

--Malaysiakini

290 pembeli cuba dimufliskan kerana rumah terbengkalai

Seramai 290 pembeli rumah dalam proses untuk dimufliskan pihak bank setelah gagal membayar pinjaman pembelian rumah yang terbengkalai.

NONEPenasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Tunku Azwil Tunku Abd Razak berkata seramai 19 pembeli rumah telah dimufliskan oleh pihak bank atas sebab sama.

"Dua angka ini merupakan mereka yang membuat aduan kepada PPIM namun, kami percaya ramai lagi yang menjadi mangsa. PPIM akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu mereka.

"PPIM akan menggunakan segala saluran dan tindakan undang-undang yang ada untuk membantu mangsa ini mendapatkan keadilan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata antara lain PPIM akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan.

"Kami dapati kes-kes ini mengandungi unsur-unsur penipuan yang menindas mereka yang tidak bersalah," katanya.

NONESementara itu, Ahmad Zaki, 43, yang menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai di Klang, berkata projek itu dibangunkan pada 1999 tetapi dihentikan sejak 2001.

"Saya terpaksa membayar balik pinjaman sebanyak RM93,000 kepada pihak bank walaupun rumah yang dijanjikan baru dinaikkan satu tiang. Status projek berhampiran Pulau Indah itu juga tiada dalam rekod Majlis Perbandaran Klang," katanya.

Selain itu, mangsa penipuan pinjaman kenderaan, yang telah disenaraihitamkan pihak bank, juga meminta bantuan PPIM untuk menyelesaikan kes mereka.

Zilah Mahmood, 34, berkata pihak bank menghantar penyata bank sebagai bukti pinjaman yang kononnya dibuat olehnya dengan jaminan isterinya, sedangkan pada ketika itu dia belum berkahwin dan tidak mengenali penjamin itu.

"Saya terkejut kerana pendapatan bulanan saya tidak mencecah RM1,000 pun sebulan, mana mungkin saya mampu untuk memiliki kenderaan sendiri, inikan pula dua buah kereta sekaligus," katanya.
Zameri Zakeria, 47, turut mengalami situasi sama apabila namanya disenaraihitamkan pada 1997 setelah didakwa berhutang RM29,136 untuk 48 ansuran bulanan bagi kenderaan Proton Saga, yang tidak pernah dimilikinya.

"Nama saya tertulis di atas penyata bank dikeluarkan, tetapi tanda tangan itu bukan milik saya. Saya telah membuat pengesahan di Jabatan Forensik, dan hasil pengesahan jabatan membuktikan tanda tangan itu bukan milik saya," katanya.

- Bernama

Banjir di K'tan makin buruk, dua beradik mati lemas

Banjir di Kelantan semakin buruk apabila dua beradik lelaki menjadi korban manakala dua lagi dikhuatiri lemas, walaupun beberapa keadaan di tempat lain dilaporkan semakin reda sehingga malam semalam.

Jabatan Bomba Kelantan melaporkan dua beradik itu maut di Bachok petang semalam manakala dua lagi mangsa dikhuatiri lemas di Pasir Mas.

Jumlah mangsa yang dipindah bertambah dari 227 kepada 416 orang di sembilan pusat pemindahan di daerah Kota Bharu (Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong, SK Tiong dan Sekolah Menengah (SM) Melor), Pasir Mas (SK Bukit Jarum dan Masjid Gabus), Pasir Puteh (SK Bukit Awang) dan Tanah Merah (SK Kulim, Madrasah Padang Kija dan Madrasah Becah Palas Lubuk Agor)

Selain itu, lalu lintas ditutup kepada semua kenderaan di Machang (Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata), Pasir Puteh (Kilometer 1 Jalan Banir Belikong-Tasik Pauh) dan Tanah Merah (Kilometer 3, Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh).

Empat sungai utama pula berada di paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Di Terengganu, keadaan banjir tidak menghalang hampir 50 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia menaiki bot ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Hulu Terengganu apabila kampung mereka ditenggelami air.

Jumlah mangsa yang dipindahkan menurun dari 1,406 orang (Setiu, 671; Besut, 560 dan Hulu Terengganu, 175) pada tengah semalam kepada 1,296 orang (Setiu, 829; Besut, 362; dan Hulu Terengganu, 105) malam tadi, manakala 25 pusat pemindahan masih beroperasi di Besut (12), Hulu Terengganu (2) dan Setiu (11).

Paras air sungai di beberapa tempat juga dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu di Setiu (Kampung Langkap, Jambatan Permaisuri dan Jambatan Calok), Hulu Terengganu (Kuala Ping dan Kuala Jengai) dan Besut (Kampung La).

Di Johor, seramai 16 mangsa banjir terdiri daripada tiga keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Cahaya, Air Hitam sehingga petang semalam.

Amaran merah

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam kenyataan media berkata amaran hujan lebat di beberapa tempat di Terengganu dan Pahang ditingkatkan dari peringkat jingga ke peringkat merah di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Antara kawasan yang terlibat di Terengganu ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman serta Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin di Pahang.

Amaran hujan lebat peringkat jingga pula dikeluarkan di beberapa tempat di Kelantan di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan akan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Antara tempat yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Amaran peringkat kuning juga dikeluarkan di Kedah dan Perlis di mana hujan sekejap-kejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Kawasan terlibat ialah Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis manakala di Kedah ialah daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dengan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 km sejam (kmsj) dan ombak setinggi 4.5 meter diramal berterusan sehingga Selasa depan di perairan Kelantan, Terengganu, Samui (Kelantan dan Terengganu), Condore dan Reef North (sekitar kawasan perairan Laut China Selatan) dan Pulau Layang-layang.

Amaran sama kategori pertama dengan kelajuan angin kencang Timur Laut 40-50 kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter juga dijangka berterusan sehingga Selasa di kawasan perairan Pulau Langkawi, Perlis, Utara Kedah, Pahang dan Johor Timur.

Tempat lain yang terlibat ialah perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalamaan, Pantai Barat dan Kudat), Phuket, Tioman, Bunguran (antara Semenanjung dan Kuching), Reef South (sepanjang perairan Sarawak) dan Palawan (utara Sabah).

Jabatan Meterologi Malaysia turut memaklumkan bahawa kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan Pantai Timur Semenanjung sehingga hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan bot kecil.

- Bernama