AWANBAND...kerjasama dengan Tasha untuk video klip mereka. |
SEHARI selepas kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita
Harian 2011 (ABPBH2011), Tasha Shila selaku penerima gelaran Artis
Wanita Baru Popular, dikatakan mengusung trofi kemenangannya di pusat
membeli-belah terkemuka, Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Perihal itu menjadi gosip yang hangat dan bintang yang dilahirkan
dengan nama Natasha Sheila Abdul Razak, 25, itu mendapat kritikan
daripada ramai pihak lantas tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Sesudah memperjelaskan hal itu dalam sebuah akhbar baru-baru ini,
gosip usung dan tayang trofi dianggap sudah berakhir baginya. Pun
begitu, saat ingin dia melupakan, gosip itu kembali hebat diperkatakan.
Berlaku di pusat membeli-belah yang sama, namun pada hari yang berbeza
dan kali ini Tasha dikatakan menayangkan trofinya sejurus menghadiri
sidang media penyampaian hadiah ABPBH2011, baru-baru ini.
“Cerita itu memang mengarut! Saya tidak ke Pavilion sebaik
sidang media majlis penyampaian hadiah itu. Apa motif orang yang buat
cerita sebegini? Saya pun tak tahu.
“Kalau sehari selepas ABPBH2011 berlangsung, saya tidak
menafikan ada ke sana. Saya ke sana untuk bertemu sahabat baik saya,
Reza, yang bekerja di butik Prada.
“Dia mahu melihat trofi
kemenangan saya dan saya ke sana untuk menunaikan permintaannya sekali
gus berkongsi kemenangan itu. Mungkin orang luar yang tidak tahu hujung
pangkal kunjungan itu tersalah erti dengan apa yang mereka lihat lantas
membuat spekulasi.
“Ini adalah yang terakhir saya menjawab isu
ini dan enggan mengulasnya lagi di masa akan datang kerana gosip yang
tersebar ini amat memalukan!” katanya.
Ditemui di Bandar Sri
Permaisuri, Cheras, Isnin lalu, pelakon berbintang Aquarius itu
terbabit dalam penggambaran klip video single kedua, AwanBand berjudul
Lintasan Bintang.
Agak mengejutkan apabila Tasha menerima tawaran
itu kerana jarang artis yang sudah popular mahu bekerjasama dengan
sebuah band yang masih mencari tempat dalam industri.
Ringkas
saja pendirian Tasha, seawal kemunculannya dia pun bukan siapa-siapa,
malah dia sendiri gembira dapat berlakon di samping nama-nama besar dan
pelakon senior kerana tempias kehebatan sebuah drama atau telefilem
turut dirasainya.
“Kalau benar populariti Tasha yang sedikit ini
boleh dikongsi dengan AwanBand dan membantu menjadikan klip video ini
sesuatu yang berjaya, itu kan satu kerjasama yang baik dan amalan sihat
yang patut dipupuk oleh semua penggiat dalam industri hiburan.
“Saya percaya sikap saling membantu antara satu sama lain dan mendukung
karier masing-masing, industri hiburan akan lebih maju dan dihormati,”
katanya pernah muncul dalam klip video, Shahir iaitu Luar Biasa.
Mengakui lebih dikenali sejak memenangi ABPBH2011, Tasha kini tersepit
antara pendirian dan peluang. Baru-baru ini, dia menghadiri sebuah
‘casting’ filem di Singapura dan tidak disangka-sangka namanya disenarai
pendek.
Filem itu, mengangkat kisah benar gitaris handalan dunia juga ‘singer-songwriter’, Jimi Hendrix.
“Tawaran diberikan memang menarik kerana boleh menjadi batu loncatan
buat saya untuk mencipta nama di luar. Tambahan pula, saya amat
mengagumi pencapaian Datuk Michelle Yeoh, artis Malaysia yang diiktiraf
dunia dan kalau boleh mahu mengikuti jejak langkahnya.
“Tetapi
saya perlu melihat dulu watak apa yang ingin diberikan. Saya ada
menetapkan beberapa syarat di mana tidak mahu berpakaian seksi atau
terbabit dalam adegan intim seperti bercium, di atas ranjang termasuk
hal-hal yang bertentangan dengan agama.
“Saya masih menjunjung
tinggi adat Melayu dan agama Islam, justeru itu, saya tidak mahu
terbabit dengan sesuatu yang boleh mencalarkan maruah saya serta
keluarga termasuklah mengguris hati penyokong saya yang rata-ratanya
juga berbangsa Melayu.
“Jika pihak produser tidak boleh menerima
syarat yang ditetapkan, saya sanggup lepaskan peluang asalkan tidak
memperjudi maruah serta pendirian. Tidak mengapalah rezeki ada di
mana-mana selagi kita rajin dan berusaha keras,” katanya.
Rezeki
gadis persis wajah diva Krisdayanti itu, kebelakangan ini melimpah
ruah. Penghujung Mei nanti iaitu 27 hingga 30, Tasha akan berangkat ke
Jakarta untuk bertemu pelakon dan pengarah terkenal, Anjasmara bagi
menyerahkan ‘portfolio’.
Bagaimanapun sebelum kunjungannya ke
sana, Tasha sibuk di set penggambaran telefilem Saleha, arahan Ismail
Yaakob, terbitan BKB Production khusus untuk slot Cerekarama, TV3.
“Saya memainkan watak Saleha seorang budak perempuan yang luarannya
nampak normal tetapi sebenarnya ‘lembam’ (slow learner). Watak seperti
ini sememangnya saya nanti-nantikan untuk menguji kemampuan serta
mempelbagaikan lakonan,” katanya.
Terdahulu sebelum memasuki set
penggambaran Saleha, Tasha baru saja selesai menjalani penggambaran
drama Adiwira pertama terbitan RTM iaitu Adi & Meon.
Barangkali ramai peminat kepada gadis berasal dari Ampang, Selangor, itu
tidak tahu bahawa Tasha, selain berbakat dalam bidang lakonan dia juga
berkebolehan menyanyi. Khabarnya, dia memiliki suara yang boleh
diketengahkan sebagai artis rakaman.
“Hahahaha! Nyanyi dekat
karaoke bolehlah! Sebenarnya kalau ikutkan cita-cita saya dulu hendak
jadi penyanyi, pelakon dan model tetapi saya letakkan nyanyian sebagai
keutamaan.
“Pernah saya mengikuti uji bakat Akademi Fantasia dan
Mentor, tetapi saya tak lulus ujian mungkin nyanyian saya tidak
mencapai piawaian. Bila menceburi bidang lakonan pula, Alhamdulillah,
rezeki saya berpihak di sini.
“Sekarang peluang sudah di depan
mata, takkan hendak dipersiakan. Saya ingin memberi tumpuan sepenuhnya
dalam bidang ini, mendapatkan watak-watak yang diinginkan. Kemudian,
bila saya sudah mencapai satu kepuasan, masa itu hendak buat single ke
atau album, barulah saya akan fikirkan.
“Baru-baru ini pun saya
ada menerima tawaran mengacara di Astro tetapi saya tidak berani ambil
kerana belum bersedia,” kata bintang Ratu The Movie dan Klik 3GP itu.
-- Harian Metro
No comments:
Post a Comment