Tuesday, May 22, 2012

Peluang Emas Di Olimpik 2012: Terlalu Awal Untuk Buat Spekulasi - Shabery

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata adalah terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi bahawa Malaysia tidak akan menggondol pingat emas pertama di temasya Olimpik London 2012 berikutan kecederaan pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei menarik diri daripada kejohanan Piala Thomas setelah cedera di buku lali kanan ketika beraksi pada perlawanan peringkat kumpulan C di Wuhan, China hari ini.

Ahmad Shabery berkata kementeriannya perlu meneliti laporan perubatan berhubung kecederaan itu sebelum membuat sebarang perancangan lanjut.

"Terlalu awal untuk kita buat spekulasi... kita tidak tahu sejauh mana kecederaan dia... kita kena tengok laporan perubatan dulu," katanya ketika ditemui selepas program 'Helo Malaysia' di Wisma Bernama Selasa malam.

Harapan untuk emas pertama Malaysia pada temasya Olimpik disandarkan di bahu Chong Wei, namun kecederaannya mungkin menyukarkan misi kontinjen Malaysia pada edisi kali ini.

Ahmad Shabery juga berkata kecederaan Chong Wei kali ini mungkin memerlukan pemain itu berehat dalam tempoh sebulan sebelum kembali menjalani latihan asas persediaan menghadapi temasya sukan antarabangsa itu.

Chong Wei dijangka pulang ke tanah air Rabu.

Terdahulu, ketika ditemu bual dalam program 'Helo Malaysia', Ahmad Shabery berkata Putrajaya bakal "ditawan" golongan belia sempena Himpunan Jutaan Belia bermula Rabu hingga Ahad.

Beliau berkata program itu memberi peluang kepada golongan itu melaksanakan pelbagai acara dan pemimpin kerajaan akan hadir sebagai penonton bagi menilai sejauh mana kebolehan mereka 'mentadbir' Putrajaya.

"Kalau dahulu (dalam) acara belia, pelbagai ucapan akan diperdengarkan kepada mereka oleh kita, kali ini mereka pula yang akan buat acara, dan kita jadi khalayak mereka.

"Kita bagi tanggungjawab ini sebab kita percaya kepada kebolehan mereka yang boleh berfikir secara positif dan kreatif dalam bidang kepakaran masing-masing seperti kesenian, sukan, nyanyian dan sebagainya," katanya.

Ahmad Shabery berkata program itu juga satu tranformasi kerajaan dalam melahirkan generasi belia yang mampu memimpin negara ke arah masa depan lebih baik.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment