Monday, June 18, 2012

Zulkifli Hir dipercayai masih hidup tapi cedera parah

Anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) kelahiran Muar, Zulkifli Hir, yang didakwa terbunuh dalam serangan udara tentera Filipina Februari lepas, dipercayai masih hidup tetapi cedera parah.

NONEMenurut sumber perisikan serantau, Zulkifli yang lebih dikenali dengan nama samarannya, 'Marwan', kini disembunyikan kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Jolo dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Sumber itu, yang enggan mendedahkan dirinya disebabkan maklumat tersebut amat sensitif, juga berkata kumpulan Abu Sayyaf yang melindungi Zulkifli kerap berpindah daripada satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelak dikesan.

"Mereka (kumpulan Abu Sayyaf) kerap berpindah kerana tekanan yang amat kuat (daripada tentera Filipina yang dibantu tentera Amerika Syarikat)," katanya.

- Bernama

Itali 'The Azzuri' iringi Sepanyol ke suku akhir




Skuad 'The Azzuri' bimbingan Cesare Prandelli menewaskan Ireland - yang sudah pun terkeluar daripada saingan - dengan jaringan 2-0 di Stadium City, Poznan, Poland.

Gol jaringan Itali dijaringkan oleh penyerang berbisa mereka, Antonio Cassano pada minit ke-35 selepas tandukannya yang terkena tangan penjaga gol Shay Given sebelum melantun melepasi garisan gol.

Gol kedua Itali dijaringkan oleh penyerang gantian, Mario Balotelli pada minit akhir perlawanan melalui satu sepakan gunting yang menarik hasil sepakan sudut.

Ini bermakna Ireland merupakan pasukan kedua - selepas Belanda - yang gagal mengutip mata selepas kalah semua tiga perlawanan dalam peringkat kumpulan.

Berbekalkan dua mata selepas seri dalam dua perlawanan sebelum ini, Itali mengutip lima mata, dan berada di tangga kedua kumpulan C selepas Sepanyol yang menewaskan Croatia dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.

Pasukan Itali akan bertemu dengan pasukan juara kumpulan D pada 25 Jun ini.

Sementara itu, skuad Sepanyol yang dibimbing oleh Vicente Del Bosque, mengalahkan Croatia dengan jaringan tipis 1-0 di PGE Arena, Gdansk, Poland.

Gol tunggal skuad 'La Roja' itu dijaringkan oleh penyerang gantian Jesus Navas pada minit ke-88 hasil hantaran rakannya Andres Iniesta yang melepasi perangkap 'offside'.

Dengan kemenangan itu, skuad 'Matador' itu menjadi juara kumpulan C dengan mengutip tujuh mata dan bakal berdepan dengan naib juara kumpulan D pada 24 Jun ini.

-- Malaysiakini

Tuesday, June 12, 2012

Misi hidup mati Belanda





KHARKIV – Pertembungan antara Belanda dengan Jerman sentiasa memiliki keistimewaan tersendiri.
Namun, pada perhitungan awal pagi ini, kedua-dua pasukan mempunyai misi besar untuk disempurnakan.
Belanda akan berdepan dengan Jerman pada aksi kedua peringkat Kumpulan B kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012.
Jerman yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ketika menewaskan Portugal, berazam untuk meneruskan persembahan cemerlang itu bagi mengesahkan slot mereka ke suku akhir.
Belanda pula yang tewas 0-1 kepada Denmark pada perlawanan pembukaan, tiada pilihan lain kecuali menang pada perlawanan itu bagi menghidupkan peluang mereka untuk mara.
Hanya kemenangan yang akan menjamin skuad kendalian Bert van Marwijk itu untuk kekal lebih lama pada cabaran Euro kali ini.
Andai tewas, Belanda sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Euro 2012.
“Ini merupakan satu perlawanan yang cukup getir tetapi kami harus membuktikan Belanda mampu muncul sebagai juara pada edisi kali ini,” ujar pemain pertahanan Belanda, John Heitinga.
“Kami wajib memenangi perlawanan ini dan kami memang tiada pilihan lain kecuali meraih kemenangan.
“Kami juga harus berwaspada dengan ancaman Jerman.
“Apa yang kami mahu ialah tiga mata dan ia menjadi keutamaan kami ketika menentang Jerman.”
Pada aksi menentang Denmark Ahad lalu, van Marwijk telah merehatkan penyerang Schalke 04, Klaas-Jan Huntelaar yang menjaringkan 12 gol sepanjang lapan perlawanan pada sesi kelayakan Euro 2012.
Kini, van Marwijk yang terdesak untuk mencari kemenangan bakal menyenaraikan Hunterlaar dalam kesebelasan skuad utama Belanda.
Beliau dijangka menggugurkan Ibrahim Afellay yang tidak begitu memberangsangkan pada aksi menentang Denmark.
Sementara itu, penyerang sensasi Arsenal, Robin van Persie bakal diletakkan pada posisi sayap kiri manakala pertahanan utama Belanda, Joris Mathijsen dijangka membarisi skuad utama.
Sekiranya, Mathijsen tidak menghadapi masalah kecergasan, Ron Vlaar bakal menjadi pemain kedua yang digugurkan daripada skuad utama Belanda. – Reuters

Thursday, May 31, 2012

'Anak jagaan JKM tiada status warganegara'

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Muhammad Khairul Hafiz Abdullah mendakwa seramai 1,758 individu yang keluar daripada pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih tidak mendapat status warganegara.

Beliau menyalahkan JKM yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan  anak-anak bekas jagaan jabatan tersebut hanya mendapat status pemastautin sementara.

Katanya, perkara itu juga terjadi kepadanya yang terpaksa "hidup merempat" selama enam tahun setelah keluar daripada salah sebuah pusat jagaan JKM di Durian Daun, Melaka, sehinggalah beliau mendapat taraf kewarganegaraan tahun lalu.

“Kami tidak ada keluarga. Lepas keluar dari rumah JKM, ke mana kami nak pergi? Dengan tak ada wang lagi. Jadi, JKM perlu bertanggungjawab ke atas budak-budak ini,” katanya dalam sidang media di Kota Damansara hari ini.

Beliau menempuh kesukaran apabila keluar daripada Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Malah, beliau sendiri pernah dimasukkan ke dalam penjara gara-gara kad pengenalan sementaranya tamat tempoh.

“Masa usia 12 tahun, sampai 6 Januari 2005, saya guna kad pengenalan hijau (pemastautin sementara). Pada Disember 2006, saya guna kad pengenalan merah (pemastautin tetap) dan tahun lepas saya baru dapat kad pengenalan biru (MyKad) dan jadi warganegara.

“Ramai budak yang dijaga Jabatan Kebajikan tidak mempunyai kerakyatan dan kad pengenalan. Malah, kami ini lebih teruk daripada pendatang sebab nak tunggu sampai lima hingga 10 tahun untuk dapat warganegara,” kata Muhammad Khairul, 25.

Atas sebab itulah beliau menubuhkan Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), kata Muhammad Khairul yang mendakwa berjaya menyelesaikan sebanyak 14 kes melibatkan anak-anak terbiar itu melalui usaha pertubuhan itu.

Selain daripada 14 orang itu, seramai 1,744 orang lagi di bawah jagaannya di pusat komuniti Perbak di Melaka itu hanya memegang status pemastautin tetap tanpa kerakyatan sah.

Katanya, anak-anak berkenaan seharusnya sudah mendapat taraf kerakyatan setelah mencapai umur 15 tahun di bawah jagaan JKM.

“Jika benar anak-anak itu dibesarkan sampai umur 15 tahun (di JKM), dia harus jadi warganegara Malaysia," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu membantu anak-anak di bawah jagaan JKM dengan memberi bantuan kewangan, sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun, selepas keluar daripada pusat jagaan tersebut.

"Bila seseorang sudah keluar daripada institusi, dia harus mendapat wang bulanan bagi dia menjalani kehidupan.

“Bila keluar dari institusi itu, kerajaan juga perlu carikan pekerjaan. Jangan biarkan mereka tak ada apa-apa (pekerjaan).

Katanya, perkara itu pernah disuarakannya dalam pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pada ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Perbak yang sebelum ini bernaung di bahawa Persatuan Pengguna Islam Malaysia, kini beroperasi secara bebas sejak April lalu.

-- malaysiakini

M'sia, ICRC usaha bebas dua rakyatnya di Guantanamo

Malaysia sedang mengusahakan bersama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bagi membolehkan dua rakyatnya yang ketika ini ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo dibebaskan dan dihantar pulang ke negara ini.
  
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau dimaklumkan kedua-dua tahanan itu, yang ditahan tanpa dibicarakan sejak 2006, berkeadaan baik dan usaha dilakukan bagi memastikan hak mereka dilindungi.
  
"ICRC mempunyai kredibiliti antarabangsa, mereka mempunyai rangkaian, mereka boleh memastikan, sebagai contoh, standard yang mereka harapkan turut ada pada Malaysia, dan turut didukung oleh negara yang menahan rakyat Malaysia," katanya.
  
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Operasi ICRC bagi Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Alain Aeschlimann semalam.
  
Mohd Farik Amin, 36, dari Kajang dan Mohd Nazir Lep, 35, dari Muar, ditahan di Thailand pada Ogos 2003, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, dan dipindahkan ke pusat tahanan Teluk Guantanamo pada 2006.
  
Hishammuddin berkata selain kes tahanan Guantanamo, kerjasama dengan ICRC turut meliputi kes membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di negara lain kerana didakwa berperanan sebagai keldai dadah.
  
"Disebabkan globalisasi, disebabkan taruhan tinggi yang terlibat, disebabkan jenayah yang merentas sempadan sekarang, manusia dieksploitasi dan mereka mungkin rasa menyesal tetapi ditahan di sebuah negara asing, mereka juga mempunyai hak yang kita perlu lindungi," katanya.
  
Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau gembira dengan seluruh kerjasama antara kementerian itu dan ICRC, dan beliau akan memastikan kerjasama itu diteruskan.
  
Katanya bidang kerjasama itu antara lain merangkumi isu kesihatan, menghubungkan antara keluarga yang mungkin berubah tempat tinggal, tahanan kanak-kanak di bawah umur yang tidak ditemani dan perkongsian untuk membantu dalam menanda aras Malaysia dengan standard antarabangsa, katanya.
  
Sementara itu, Aeschlimann berkata kerjasama antara ICRC dan kementerian berkembang dengan baik, dan mereka turut menyediakan beberapa khidmat langsung bagi memastikan tahanan di negara ini dilayan mengikut standard antarabangsa.

- Bernama

Wednesday, May 30, 2012

Pathmanabhan nafi transaksi tanah babit Sosilawati satu penipuan


Bekas peguam N.Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, menafikan urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang membabitkan jutawan kosmetik itu adalah satu penipuan.
   
Pathmanabhan, 43, membuat penafian itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berhubung pembelian tanah bernilai RM25 juta oleh syarikat Sosilawati, Southern Symphony Sdn Bhd, daripada ahli perniagaan India, A.Muthuraja pada 2008.
   
Kepada soalan lain, tertuduh yang merupakan peguam Sosilawati ketika urusan jual beli berkenaan, berkata dia tahu tiga lot tanah di Batu Ferringhi itu mempunyai empat kaveat.
   
"Oleh kerana terdapat empat kaveat, tidak terfikirkah ini merupakan
transaksi yang mencurigakan?" soal Saiful Edris.
   
"Sebab itu saya failkan di mahkamah untuk perintah penarikan kaveat," jawab Pathmanabhan yang merupakan saksi pertama pembelaan.
   
Ketika Saiful Edris merujuk kepada surat sebuah firma guaman di Pulau Pinang yang memaklumkan terdapat keraguan dalam urusan jual beli tanah berkenaan, Pathmanabhan tetap menafikan transaksi itu satu penipuan.
   
"Saya pernah tulis surat kepada firma guaman berkenaan meminta mereka serahkan dokumen sebagai bukti kenapa mereka cakap transaksi itu satu penipuan, tetapi mereka tidak membalasnya dan firma guaman itu juga tidak pernah failkan sebarang permohonan di mahkamah untuk mempertikaikan tuntutan saya," katanya.
   
Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 21, R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
   
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
   
Kepada satu soalan, Pathmanabhan berkata walaupun tanah itu mempunyai kaveat, dia masih meneruskan transaksi jual beli kerana Sosilawati berminat untuk membeli tanah berkenaan.
   
Tertuduh turut disoal berhubung keterangannya semalam yang mendakwa dia telah meminjamkan wang sebanyak RM4 juta kepada Sosilawati.
   
"Berdasarkan penyata akaun kamu, saya katakan kamu tiada wang untuk menunaikan cek RM4 juta itu," kata Saiful Edris dan Pathmanabhan menjawab tidak setuju.
   
"Bila Sosilawati datang berjumpa kamu pada 30 Ogos 2010, kamu tiada wang untuk menunaikan cek itu," kata Saiful Edris dan tertuduh menjawab tidak setuju.
   
"Malah, kamu tiada wang dan gunakan wang Sosilawati untuk 'rolling' wang dalam akaun kamu," kata Saiful Edris dan sekali lagi Pathmanabhan menjawab tidak  setuju.  
   
Saiful Edris kemudian merujuk tertuduh kepada beberapa rekod transaksi pengeluaran wang daripada akaun Southern Symphony, yang jumlah dan tarikhnya sama dengan jumlah serta tarikh kemasukan wang ke akaun peribadi tertuduh.

"Setuju atau tidak, kalau Sosilawati tidak masukkan wang dalam akaun pelanggan, kamu tiada wang," kata Saiful Edris dan Pathmanabhan menjawab tidak setuju.
   
Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya itu bahawa dia melakukan pecah amanah apabila memasukkan wang dari akaun pelanggan ke akaun miliknya.
   
"Saya ada kebenaran daripada pelanggan saya (untuk mengeluarkan wang daripada akaun pelanggan)," katanya.
   
Sementara itu, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Pathmanabhan menafikan dia memaksa Sosilawati menandatangani surat kebenaran itu (kebenaran mengeluarkan wang daripada akaun pelanggan) pada malam 30 Ogos 2010 di Ladang Gadong.
   
Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa dia mengundurkan tarikh asal di surat itu, yang sepatutnya bertarikh 30 Ogos 2010 kepada 11 Ogos 2010.
   
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 3 Julai ini.

- Bernama

Monday, May 28, 2012

Gambar: Dian Sastrowardoyo Atas Karpet Merah Festival Filem Cannes 2012

Nampaknya kehadiran bintang juga pelakon Indonesia Dian Sastrowardoyo di Festival Filem Cannes 2012 menjadi satu perhatian besar dalam industri hiburan di seberang.

Dian Sastrowardoyo tampil di festival filem paling berprestij itu atas tiket sebagai duta L’Oreal Indonesia & beliau merupakan satu satu’nya wakil Asia Tenggara yang melalui karpet merah.

Jangan kata Malaysia tidak menghantar penyertaan. Kami tahu delegasi FINAS ke Festival Filem Cannes sedang bertungkus lumus memasarkan filem & karya Malaysia di’mata dunia.

Pada tahun 2012, Malaysia boleh’lah berkata yang mereka juga ada wakil besar di festival filem ini apabila Datuk Seri Michelle Yeoh menjadi pilihan L’Oreal untuk hadir.

Sehingga kita mempunyai pelakon wanita atau lelaki yang layak ke karpet merah Festival Filem Cannes ini kita layankan terlebih dahulu gambar Dian Sastrowardoyo.

Gambar ihsan Splash News & Facebook rasmi L’Oreal Indonesia

-- Rotikaya

Mahkamah Tetapkan 5 Nov Bagi Perbicaraan Pengerusi Eksekutif NFC

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 5 Nov bagi perbicaraan pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan Pecah Amanah Jenayah (CBT) berjumlah RM49.7 juta.

Hakim S.M Komathy Suppiah memperuntukkan 15 hari bagi perbicaraan itu dari 5 Nov hingga 9 Nov, dan dari 3 Dis hingga 14 Dis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua belah pihak perlu menentukan fakta dan isu dipertikaikan, yang dipersetujui, yang pendakwa ingin cabar.

Beliau juga berkata semua dokumen perlu disahkan sebelum pengurusan kes pada 8 Okt, dan pihak pembelaan perlu menerangkan tentang mana-mana dokumen dan bahan bukti lain pembelaan yang mereka cadang kemukakan.

Peguam Mohamad Salleh, Y. Seelan berkata pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk meneliti dokumen.

-- BERNAMA

Binay Yakin Penyertaan Syarikat Malaysia Dalam Pembinaan Lebun Raya

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan Filipina yakin dengan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan lebuh raya di negara tersebut.

Naib Presiden Filipina, Jejomar C. Binay, berkata projek lebuh raya di negaranya akan dilaksanakan dengan lancar dengan penyertaan syarikat Malaysia.

"Kami yakin dengan penyertaan Malaysia dalam projek prasarana Filipina, terutamanya membina lebuh raya.

"Kami percaya ia akan disiapkan tanpa sebarang masalah," katanya selepas mengetuai delegasi Filipina bertemu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.



Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia terdahulu mengumumkan bahawa syarikat Malaysia dipelawa menyertai dalam 33 projek prasarana bernilai RM22.5 bilion di Filipina.

-- BERNAMA

Asia Perlu Pikul Tanggungjawab Lebih Besar Demi Keselamatan Sendiri - Najib

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Asia perlu berani memikul tanggungjawab yang lebih besar demi keselamatan sendiri dan mewujudkan rangka kerja bagi memastikan keselamatan serta menjaga kepentingannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-26, yang bertemakan 'Orde Keselamatan dan Urus Tadbir Asia' di sini Isnin, Najib berkata Asia perlu mengubah cara pemikiran mereka yang sebelum ini diprogram untuk lebih memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi sehingga mengabaikan isu keselamatan.

"Meskipun kita menghargai bantuan rakan lain yang begitu banyak menyumbang kepada kestabilan serantau, Asia perlu berubah daripada sekadar menjadi pengguna kepada pengeluar bagi keselamatan," katanya.

Najib juga berkata jika Asia ingin berkuasa dalam arena politik global, ia tidak boleh mengelak daripada berterus-terang dan menyatakan pendirian berhubung isu sensitif seperti pelucutan senjata nuklear, pembinaan senjata serta pakatan ketenteraan.

"Asia perlu bangkit dan diberi perhatian," katanya.

Dalam merangka hala tuju Asia masa depan, Najib menggariskan dua pertimbangan penting iaitu pertama, hubungan mesti diasaskan pada satu spektrum yang luas dalam sesuatu bidang dan tidak hanya ditakrifkan oleh isu tunggal dan kedua, tidak ada ruang untuk permusuhan di Asia.

Najib berkata Asia tidak perlu obsesi kepada manfaat ekonomi semata-mata kerana ia boleh merosakkan kestabilan serantau jika terpaksa tunduk akibat kebimbangan ketenteraan.

"Lihat Asean sebagai contoh. Tiga tonggak iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio budaya perlu sama-sama kuat, jika tidak, kestabilan 10 anggota organisasi akan terancam.

"Asia tidak boleh berdiri dengan sebelah kaki; ia perlu memperkukuh asas penubuhannya, dan ini membabitkan, antara lain, mengeratkan hubungan antara rakyat," katanya.

Najib berkata Asia tidak seharusnya membenarkan konflik dan perebutan kuasa sekali lagi memecah-belahkan mereka.

"Apa yang kita perlukan ialah kerjasama, dan syukurlah ia senang didapati di rantau Asia," katanya.

Beliau berkata sejak 1967, Asean mengiktiraf nilai kestabilan dan telah mengasaskan hubungan berdasarkan prinsip saling menghormati serta 'memakmurkan jiran,' dan semangat kerjasama yang dipelopori itu diperluas di luar Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata Asia menolak ekstremisme dalam semua bentuk, namun apabila terdapat perbezaan yang ketara, mengakui suara golongan terpencil perlu didengari.

"Meminggirkan pendapat yang berbeza adalah tidak produktif dan hanya akan menyebabkan rungutan lama kekal serta menimbulkan masalah baharu," katanya.

Najib berkata sememangnya mudah untuk melaungkan nasihat berhubung keamanan dan penyelesaian pertikaian secara aman.

"Namun, untuk melaksanakannya bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Memetik kata-kata negarawan British iaitu Winston Churchill iaitu 'to jaw-jaw is better than war-war', Najib berkata perbezaan boleh diatasi menerusi komunikasi dan dialog.

Beliau berkata Asia akan melakukan kesilapan jika hanya memfokus kepada kejayaan ekonomi semata-mata kerana kemakmuran ekonomi Asia sememangnya diiringi kesan sampingan yang membimbangkan.

"Sejarah telah membuktikan ada negara yang bertindak memperkukuh pertahanan dan kuasa ketenteraan mereka apabila bertambah kaya. Lima negara teratas di Asia yang menjadi penerima pemindahan senjata dari 2007 hingga 2011 ialah India, Korea Selatan, Pakistan, China dan Singapura," katanya.

Najib berkata negara terbabit menyumbang sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan senjata import antarabangsa.

Beliau juga berkata Asia tidak boleh memandang ringan isu perlindungan bagi keamanan serta keselamatan rantau ini, dan ia perlu mengambil langkah proaktif ke arah pembinaan komuniti keselamatan majmuk di mana penggunaan kekerasan bukan satu pilihan.

"Kita tidak boleh bergantung semata-mata terhadap pengumuman persahabatan dan niat untuk keamanan, kita perlu mencari jalan menyelesaikan masalah sendiri serta berkompromi dengan kepentingan yang berbeza, jika ia berlaku," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, May 27, 2012

Lebih 13,000 terbunuh di Syria



MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di Houla diletakkan di sebuah hospital sebelum dikebumikan kelmarin.
DAMSYIK - Lebih 13,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula pada Mac 2011, kata seorang pegawai pertubuhan Pemantauan Rakyat Syria untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman semalam.

"Secara keseluruhan 13,004 orang terbunuh dengan 9,183 mangsa ialah orang awam," katanya.
Menurutnya, 3,072 yang lain merupakan askar pemerintah manakala 749 terdiri daripada pembelot dalam tentera Syria.

Keganasan di Syria kini semakin memuncak walaupun satu persetujuan gencatan senjata yang diusahakan bersama oleh Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkuat kuasa pada 12 April lalu.

"Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, seramai 1,881 telah terbunuh," ujar Abdel Rahman.
Beliau merujuk kepada siri pertempuran yang tercetus antara pemberontak dan tentera Syria serta beberapa serangan bom.

Angka kematian tersebut disiarkan sehari selepas 109 orang, satu pertiga daripada mereka kanak-kanak dibunuh di Houla, dalam wilayah Homs yang menjadi medan pertempuran antara tentera Bashar dan pemberontak.

Tegas Abdel Rahman, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan konkrit berhubung peningkatan keganasan di Syria.

Ujarnya, pelan damai PBB di bawah kelolaan bekas Setiasuaha Agung badan dunia itu, Kofi Annan adalah terlambat buat penduduk Houla.

"Mengapa pemerhati PBB tidak bergegas ke Houla sebaik sahaja serangan tidak berperikemanusiaan ini diumumkan?" soal Abdel Rahman.

"Jika dunia tidak bertindak selepas pembunuhan beramai-ramai di Houla massacre, ini ternyata satu bencana," tambahnya.

Sementara itu, pihak berkuasa Syria semalam menafikan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Houla kelmarin.

"Wanita, kanak-kanak dan warga tua telah ditembak mati. Kekejaman ini bukan dilakukan oleh tentera Syria," kata jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdesi dalam satu kenyataan di sini.

Menurut PBB, seramai 32 kanak-kanak bawah usia 10 tahun merupakan antara mangsa kekejaman tersebut.

"Kami menafikan sebarang pembabitan tentera Syria dalam pembunuhan kejam ini," tambahnya. - Agensi

China terus berkuasa

WUHAN – Keutuhan ‘Tembok Besar China’ dalam sukan badminton dunia terlalu sukar untuk dirobohkan.
Buktinya, China berjaya mendominasi kempen Piala Thomas/Uber 2012.

Jika kelmarin, skuad wanita China muncul juara Piala Uber, semalam giliran skuad lelaki pula mengungguli saingan Piala Thomas apabila merekodkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

Tampil selaku tuan rumah, China terlalu sukar untuk ditandingi apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan pada final yang berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan semalam.

Bintang sensasi China, Lin Dan berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana dia sendiri tidak pasti sama ada masih boleh beraksi atau tidak pada edisi berikutnya dua tahun akan datang.

“Banyak yang saya fikirkan malam tadi (kelmarin) sebelum turun beraksi hari ini (semalam).

“Saya sendiri tidak pasti berapa banyak lagi kempen Piala Thomas yang saya boleh beraksi. Apa yang saya tahu, kali ini Piala Thomas berlangsung di negara saya sendiri dan saya mahu memberikan aksi terbaik.

 “Setiap pemain pasti berasa gementar sebelum perlawanan.

“Semasa kamu masih muda, sudah pasti kamu cukup teruja untuk turun beraksi kerana ia pertama kali kamu membarisi skuad negara.

“Namun, apabila kamu sudah tua, pasti banyak pihak meletakkan sandaran di atas bahu kamu. Sebab itu, saya tidak boleh tidur lena malam tadi (kelmarin),” kata Lin Dan sejurus tamat perlawanan semalam.

Pada aksi semalam, Lin Dan yang merupakan pemain No. 2 dunia menyumbangkan mata pertama China apabila mengetepikan cabaran Lee Hyun Il 21-14, 21-17.

Gandingan beregu No. 1 dunia, Cai Yun-Fu Haifeng meneruskan rentak kecemerlangan Lin Dan apabila memastikan mata kedua China selepas mencatat kemenangan ke atas Lee Yong Dae-Kim Sa Rang 21-16, 25-23.

Bintang muda China, Chen Long melengkapkan kemenangan China hasil kejayaan menewaskan Shon Wan Ho 21-9, 21-13.

Dengan kemenangan itu, China kini secara keseluruhannya telah merekodkan sembilan kejuaraan pada kempen Piala Thomas sejak ia mula diperkenalkan pada 1949 di Preston, England.
Sebelum ini, China menjulang trofi berprestij itu pada edisi 1982, 1986, 1988, 1990, 2004, 2006, 2008, 2010.

-- kosmo

Bekas pegawai Parti Komunis dituduh perkosa 10 remaja

BEIJING: Polis menahan bekas pegawai Parti Komunis kerana disyaki memperkosa sekurang-kurangnya 10 gadis bawah umur, kata pihak berkuasa dalam satu kes yang menyebabkan kemarahan di Internet.

Kenyataan pihak berkuasa berkata, bekas Timbalan Pengarah Jawatankuasa parti itu di bandar Yongcheng, wilayah Henan, Li Xingong, ditahan atas serangan seksual terhadap gadis bawah umur 18 tahun.


Katanya, “Kes itu akan disiasat dengan serius tanpa kelonggaran dan mengikut undang-undang. Siasatan sedang dijalankan dan pengumuman akan dibuat sebaik saja ada kemajuan.”

Berita itu menyebabkan pengguna web China marah dan semakin ramai berani menyuarakan kemarahan mereka atas salah laku dibuat oleh pegawai parti pemerintah, Parti Komunis. - AFP

Suami Reka Banglo Untuk Lisa Surihani & Bakal Berhenti Berlakon?

Bertuah badan menjadi isteri Yusry KRU. Dalam kenyataan kepada KOSMO! hari ini, Yusry KRU mengakui yang beliau mereka bentuk sebuah banglo untuk Lisa Surihani.

Rumah mewah yang bakal di’diami pasangan ini mengambil tempat di Country Height Resort, Kajang sebuah kawasan perumahan elit & di’jangka siap sekitar Julai 2012 ini.

Menurut Yusry KRU lagi, rumah tersebut sudah pun memulakan pembinaan sekitar November 2012 yang lalu & ketika beliau ajukan tentang hal rumah tersebut kepada Lisa Surihani, dia seakan tidak mahu mengambil tahu.

“Bila dah kahwin, tidak sangka pula cita rasa kami serasi. Jadi, tiada masalah. Kami membeli perabot bersama dan semua cita rasa kami serasi,” ujar Yusry KRU.

Perkembangan berkaitan, Lisa Surihani memberitahu GUA yang drama Dimanakah Juwitaku yang akan bersiaran di Astro Ria mungkin menjadi drama terakhir beliau.

“Kemungkinan selepas drama ini, ia akan menjadi drama siri saya yang terakhir. Saya hanya mahu buat filem dan itupun saya akan lebih memilih,” ujar Lisa Surihani yang turut menafikan Yusry KRU ada campur tangan dalam keputusan ini.

-- Rotikaya

Wardina Saffiyah Terima Panggilan Lucah Dua Kali, Buat Laporan Polis

Bahaya orang yang suka suka menyamar menjadi wartawan ini. Wardina Saffiyah mangsa terbaru aktiviti tidak sihat ini apabila dua kali di’ganggu oleh pemanggil lucah.

Seorang lelaki yang menamakan diri beliau sebagai Arif mendakwa bekerja sebagai kakitangan salah sebuah stesyen TV dan ingin menembual Wardina Saffiyah.

Namun, lelaki itu menolak untuk menyatakan beliau bekerja dengan stesen TV mana & mula mengeluarkan kata kata lucah yang Wardina Saffiyah sendiri malu untuk dedahkan.

Lelaki itu menelefon selebriti popular ini pertama kalipada jam 5.00 pagi namun panggilan tidak berjawab dan panggilan kedua pada 9.15 pagi yang menyebabkan Wardina Saffiyah bertindak membuat laporan polis.

“… dia mula mengeluarkan perkataan-perkataan yang saya sendiri malu untuk sebut. Saya tidak faham kenapa ada orang yang sanggup melakukan perkara seperti itu,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

-- Rotikaya

Agro Bank Keluar RM4.27 Juta Zakat Perniagaan Bagi Tahun Kewangan 2011

KEMAMAN, 27 Mei (Bernama) -- Agro Bank telah membuat peruntukan bagi RM4.27 juta bayaran zakat perniagaannya bagi tahun kewangan 2011, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Menurut beliau, sebahagian daripada jumlah itu akan diagihkan kepada Pusat Pungutan Zakat negeri-negeri manakala sebahagian lagi akan diagihkan kepada asnaf yang layak secara berperingkat.

"Hari ini kita menyampaikan wang zakat bagi negeri Terengganu sebanyak RM96,253, kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Disamping itu Agro Bank juga menyerahkan sumbangan berjumlah RM44,622 kepada asnaf-asnaf yang terdiri daripada peniaga kecil, ibu-ibu tunggal serta pelajar-pelajar di sekitar Kemaman," katanya.

Wan Mohd Fadzmi berkata, bagi membantu golongan pengusaha kecil dan petani di negeri itu, sehingga Disember lepas, Agro Bank telah meluluskan pinjaman mikro kredit sebanyak RM45.0 juta kepada 3,513 orang peminjam.

-- BERNAMA

New Zealand Terus Ungguli Tempat Teratas

POH, 27 Mei (Bernama) -- New Zealand mengekalkan rekod tanpa kalah untuk menerajui kedudukan pasukan apabila menumpaskan Pakistan 3-1 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2012 di sini Ahad.

New Zealand kini mengutip sembilan mata manakala Pakistan menduduki tangga ketiga dengan tiga mata selepas dua perlawanan. Pakistan akan berdepan dengan Korea Selatan manakala New Zealand berehat esok.

Pada perlawanan kedua, Argentina berjaya mencatatkan kemenangan pertama apabila menang tipis 4-3 ke atas Korea Selatan.

Argentina akan menentang Great Britain manakala Korea Selatan bertemu Pakistan Isnin.

Pada perlawanan terakhir, Great Britain mencapai kemenangan kedua berturut-turut apabila menundukkan India 3-2. India akan menentang Malaysia Isnin.

-- BERNAMA

Konsert Lady Gaga Di Jakarta Akhirnya Dibatalkan

JAKARTA, 27 Mei (Bernama) -- Setelah agak lama menjadi kontroversi dan tidak ada kepastian, konsert bintang Hollywood Lady Gaga yang dijadualkan di Jakarta pada 3 Jun, akhirnya dibatalkan.

Pengarah Eksekutif Big Daddy Entertainment Michael Rusli berkata berita mengenai pembatalan itu diterima pihaknya pada pagi Ahad daripada pengurusan Lady Gaga.

"Pihak Lady Gaga akhirnya membatalkan setelah mempertimbangkan beberapa perkara, ini yang terbaik untuk individu-individu," katanya pada sidang akhbar di sini.

Pihak penganjur berkata mereka akan memulangkan sepenuhnya wang tiket yang telah dibeli orang ramai untuk menyaksikan konsert bertajuk "The Born This Way Ball Tour" itu di Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Prosedur pemulangan wang itu akan diumumkan pada Rabu. Lebih 50,000 tiket konsert itu telah dijual sebelum ini.

Peguam Big Daddy, Minola Sebayang berkata pengurusan Lady Gaga tidak mahu melihat ada yang cedera, sama ada di kalangan mereka sendiri atau penonton, berikutan ancaman beberapa pihak sebelum ini, jika konsert itu diteruskan.

-- BERNAMA

Rakyat Malaysia Yang Hilang Di Sydney Ditemui

MELBOURNE, 28 Mei (Bernama) -- Seorang pelancong warga emas dari Malaysia yang dilapor hilang ketika melawat Willoughby Park di utara Sydney pada Ahad, telah ditemui, lapor Australian Associated Press.

Anthony Chung, 78, yang kali terakhir dilihat anggota keluarganya pada pagi semalam, ditemui sedang merayau berhampiran premis perniagaan di Naremburn pada pagi Isnin, kata polis.

Chung tiba di Australia pada 16 Mei lepas dan tinggal bersama anggota keluarganya di Arncliffe, selatan Sydney serta di Chatswood, iaitu kawasan perumahan di bahagian utara bandar raya itu.


-- BERNAMA

Wednesday, May 23, 2012

Istanbul, Tokyo Dan Madrid Disenarai Pendek Anjur Olimpik 2020

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)telah menyenarai pendek Istanbul (Turki), Tokyo (Jepun) dan Madrid (Sepanyol) sebagai tiga calon yang akan membida untuk penganjuran Olimpik 2020.

Menurut laman web IOC, bandar raya terbabit dipilih daripada lima yang memohon termasuk Baku (Azerbaijan) dan Doha (Qatar).

"Pemilihan bandar raya penganjur untuk Olimpik Musim Panas 2020 akan berlangsung pada 7 Sept 2013 di Buenos Aires, Argentina," menurut laman web itu.

Temasya Olimpik 2012 akan diadakan di London, United Kingdom pada Julai ini, manakala temasya 2016 akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.

-- BERNAMA