Itali mengiringi Sepanyol ke suku akhir selepas kedua-dua pasukan
mengalahkan lawan masing-masing dalam perlawanan terakhir peringkat
kumpulan C Euro 2010, awal pagi ini.
Skuad 'The Azzuri' bimbingan
Cesare Prandelli menewaskan Ireland - yang sudah pun terkeluar daripada
saingan - dengan jaringan 2-0 di Stadium City, Poznan, Poland.
Gol
jaringan Itali dijaringkan oleh penyerang berbisa mereka, Antonio
Cassano pada minit ke-35 selepas tandukannya yang terkena tangan penjaga
gol Shay Given sebelum melantun melepasi garisan gol.
Gol kedua
Itali dijaringkan oleh penyerang gantian, Mario Balotelli pada minit
akhir perlawanan melalui satu sepakan gunting yang menarik hasil sepakan
sudut.
Ini bermakna Ireland merupakan pasukan kedua - selepas
Belanda - yang gagal mengutip mata selepas kalah semua tiga perlawanan
dalam peringkat kumpulan.
Berbekalkan dua mata selepas seri dalam
dua perlawanan sebelum ini, Itali mengutip lima mata, dan berada di
tangga kedua kumpulan C selepas Sepanyol yang menewaskan Croatia dalam
satu lagi perlawanan peringkat kumpulan.
Pasukan Itali akan bertemu dengan pasukan juara kumpulan D pada 25 Jun ini.
Sementara
itu, skuad Sepanyol yang dibimbing oleh Vicente Del Bosque, mengalahkan
Croatia dengan jaringan tipis 1-0 di PGE Arena, Gdansk, Poland.
Gol
tunggal skuad 'La Roja' itu dijaringkan oleh penyerang gantian Jesus
Navas pada minit ke-88 hasil hantaran rakannya Andres Iniesta yang
melepasi perangkap 'offside'.
Dengan kemenangan itu, skuad
'Matador' itu menjadi juara kumpulan C dengan mengutip tujuh mata dan
bakal berdepan dengan naib juara kumpulan D pada 24 Jun ini.
-- Malaysiakini
No comments:
Post a Comment