Monday, May 28, 2012

Mahkamah Tetapkan 5 Nov Bagi Perbicaraan Pengerusi Eksekutif NFC

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 5 Nov bagi perbicaraan pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan Pecah Amanah Jenayah (CBT) berjumlah RM49.7 juta.

Hakim S.M Komathy Suppiah memperuntukkan 15 hari bagi perbicaraan itu dari 5 Nov hingga 9 Nov, dan dari 3 Dis hingga 14 Dis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua belah pihak perlu menentukan fakta dan isu dipertikaikan, yang dipersetujui, yang pendakwa ingin cabar.

Beliau juga berkata semua dokumen perlu disahkan sebelum pengurusan kes pada 8 Okt, dan pihak pembelaan perlu menerangkan tentang mana-mana dokumen dan bahan bukti lain pembelaan yang mereka cadang kemukakan.

Peguam Mohamad Salleh, Y. Seelan berkata pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk meneliti dokumen.

-- BERNAMA

Binay Yakin Penyertaan Syarikat Malaysia Dalam Pembinaan Lebun Raya

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan Filipina yakin dengan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan lebuh raya di negara tersebut.

Naib Presiden Filipina, Jejomar C. Binay, berkata projek lebuh raya di negaranya akan dilaksanakan dengan lancar dengan penyertaan syarikat Malaysia.

"Kami yakin dengan penyertaan Malaysia dalam projek prasarana Filipina, terutamanya membina lebuh raya.

"Kami percaya ia akan disiapkan tanpa sebarang masalah," katanya selepas mengetuai delegasi Filipina bertemu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.



Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia terdahulu mengumumkan bahawa syarikat Malaysia dipelawa menyertai dalam 33 projek prasarana bernilai RM22.5 bilion di Filipina.

-- BERNAMA

Asia Perlu Pikul Tanggungjawab Lebih Besar Demi Keselamatan Sendiri - Najib

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Asia perlu berani memikul tanggungjawab yang lebih besar demi keselamatan sendiri dan mewujudkan rangka kerja bagi memastikan keselamatan serta menjaga kepentingannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-26, yang bertemakan 'Orde Keselamatan dan Urus Tadbir Asia' di sini Isnin, Najib berkata Asia perlu mengubah cara pemikiran mereka yang sebelum ini diprogram untuk lebih memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi sehingga mengabaikan isu keselamatan.

"Meskipun kita menghargai bantuan rakan lain yang begitu banyak menyumbang kepada kestabilan serantau, Asia perlu berubah daripada sekadar menjadi pengguna kepada pengeluar bagi keselamatan," katanya.

Najib juga berkata jika Asia ingin berkuasa dalam arena politik global, ia tidak boleh mengelak daripada berterus-terang dan menyatakan pendirian berhubung isu sensitif seperti pelucutan senjata nuklear, pembinaan senjata serta pakatan ketenteraan.

"Asia perlu bangkit dan diberi perhatian," katanya.

Dalam merangka hala tuju Asia masa depan, Najib menggariskan dua pertimbangan penting iaitu pertama, hubungan mesti diasaskan pada satu spektrum yang luas dalam sesuatu bidang dan tidak hanya ditakrifkan oleh isu tunggal dan kedua, tidak ada ruang untuk permusuhan di Asia.

Najib berkata Asia tidak perlu obsesi kepada manfaat ekonomi semata-mata kerana ia boleh merosakkan kestabilan serantau jika terpaksa tunduk akibat kebimbangan ketenteraan.

"Lihat Asean sebagai contoh. Tiga tonggak iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio budaya perlu sama-sama kuat, jika tidak, kestabilan 10 anggota organisasi akan terancam.

"Asia tidak boleh berdiri dengan sebelah kaki; ia perlu memperkukuh asas penubuhannya, dan ini membabitkan, antara lain, mengeratkan hubungan antara rakyat," katanya.

Najib berkata Asia tidak seharusnya membenarkan konflik dan perebutan kuasa sekali lagi memecah-belahkan mereka.

"Apa yang kita perlukan ialah kerjasama, dan syukurlah ia senang didapati di rantau Asia," katanya.

Beliau berkata sejak 1967, Asean mengiktiraf nilai kestabilan dan telah mengasaskan hubungan berdasarkan prinsip saling menghormati serta 'memakmurkan jiran,' dan semangat kerjasama yang dipelopori itu diperluas di luar Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata Asia menolak ekstremisme dalam semua bentuk, namun apabila terdapat perbezaan yang ketara, mengakui suara golongan terpencil perlu didengari.

"Meminggirkan pendapat yang berbeza adalah tidak produktif dan hanya akan menyebabkan rungutan lama kekal serta menimbulkan masalah baharu," katanya.

Najib berkata sememangnya mudah untuk melaungkan nasihat berhubung keamanan dan penyelesaian pertikaian secara aman.

"Namun, untuk melaksanakannya bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Memetik kata-kata negarawan British iaitu Winston Churchill iaitu 'to jaw-jaw is better than war-war', Najib berkata perbezaan boleh diatasi menerusi komunikasi dan dialog.

Beliau berkata Asia akan melakukan kesilapan jika hanya memfokus kepada kejayaan ekonomi semata-mata kerana kemakmuran ekonomi Asia sememangnya diiringi kesan sampingan yang membimbangkan.

"Sejarah telah membuktikan ada negara yang bertindak memperkukuh pertahanan dan kuasa ketenteraan mereka apabila bertambah kaya. Lima negara teratas di Asia yang menjadi penerima pemindahan senjata dari 2007 hingga 2011 ialah India, Korea Selatan, Pakistan, China dan Singapura," katanya.

Najib berkata negara terbabit menyumbang sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan senjata import antarabangsa.

Beliau juga berkata Asia tidak boleh memandang ringan isu perlindungan bagi keamanan serta keselamatan rantau ini, dan ia perlu mengambil langkah proaktif ke arah pembinaan komuniti keselamatan majmuk di mana penggunaan kekerasan bukan satu pilihan.

"Kita tidak boleh bergantung semata-mata terhadap pengumuman persahabatan dan niat untuk keamanan, kita perlu mencari jalan menyelesaikan masalah sendiri serta berkompromi dengan kepentingan yang berbeza, jika ia berlaku," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, May 27, 2012

Lebih 13,000 terbunuh di Syria



MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di Houla diletakkan di sebuah hospital sebelum dikebumikan kelmarin.
DAMSYIK - Lebih 13,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula pada Mac 2011, kata seorang pegawai pertubuhan Pemantauan Rakyat Syria untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman semalam.

"Secara keseluruhan 13,004 orang terbunuh dengan 9,183 mangsa ialah orang awam," katanya.
Menurutnya, 3,072 yang lain merupakan askar pemerintah manakala 749 terdiri daripada pembelot dalam tentera Syria.

Keganasan di Syria kini semakin memuncak walaupun satu persetujuan gencatan senjata yang diusahakan bersama oleh Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkuat kuasa pada 12 April lalu.

"Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, seramai 1,881 telah terbunuh," ujar Abdel Rahman.
Beliau merujuk kepada siri pertempuran yang tercetus antara pemberontak dan tentera Syria serta beberapa serangan bom.

Angka kematian tersebut disiarkan sehari selepas 109 orang, satu pertiga daripada mereka kanak-kanak dibunuh di Houla, dalam wilayah Homs yang menjadi medan pertempuran antara tentera Bashar dan pemberontak.

Tegas Abdel Rahman, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan konkrit berhubung peningkatan keganasan di Syria.

Ujarnya, pelan damai PBB di bawah kelolaan bekas Setiasuaha Agung badan dunia itu, Kofi Annan adalah terlambat buat penduduk Houla.

"Mengapa pemerhati PBB tidak bergegas ke Houla sebaik sahaja serangan tidak berperikemanusiaan ini diumumkan?" soal Abdel Rahman.

"Jika dunia tidak bertindak selepas pembunuhan beramai-ramai di Houla massacre, ini ternyata satu bencana," tambahnya.

Sementara itu, pihak berkuasa Syria semalam menafikan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Houla kelmarin.

"Wanita, kanak-kanak dan warga tua telah ditembak mati. Kekejaman ini bukan dilakukan oleh tentera Syria," kata jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdesi dalam satu kenyataan di sini.

Menurut PBB, seramai 32 kanak-kanak bawah usia 10 tahun merupakan antara mangsa kekejaman tersebut.

"Kami menafikan sebarang pembabitan tentera Syria dalam pembunuhan kejam ini," tambahnya. - Agensi

China terus berkuasa

WUHAN – Keutuhan ‘Tembok Besar China’ dalam sukan badminton dunia terlalu sukar untuk dirobohkan.
Buktinya, China berjaya mendominasi kempen Piala Thomas/Uber 2012.

Jika kelmarin, skuad wanita China muncul juara Piala Uber, semalam giliran skuad lelaki pula mengungguli saingan Piala Thomas apabila merekodkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

Tampil selaku tuan rumah, China terlalu sukar untuk ditandingi apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan pada final yang berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan semalam.

Bintang sensasi China, Lin Dan berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana dia sendiri tidak pasti sama ada masih boleh beraksi atau tidak pada edisi berikutnya dua tahun akan datang.

“Banyak yang saya fikirkan malam tadi (kelmarin) sebelum turun beraksi hari ini (semalam).

“Saya sendiri tidak pasti berapa banyak lagi kempen Piala Thomas yang saya boleh beraksi. Apa yang saya tahu, kali ini Piala Thomas berlangsung di negara saya sendiri dan saya mahu memberikan aksi terbaik.

 “Setiap pemain pasti berasa gementar sebelum perlawanan.

“Semasa kamu masih muda, sudah pasti kamu cukup teruja untuk turun beraksi kerana ia pertama kali kamu membarisi skuad negara.

“Namun, apabila kamu sudah tua, pasti banyak pihak meletakkan sandaran di atas bahu kamu. Sebab itu, saya tidak boleh tidur lena malam tadi (kelmarin),” kata Lin Dan sejurus tamat perlawanan semalam.

Pada aksi semalam, Lin Dan yang merupakan pemain No. 2 dunia menyumbangkan mata pertama China apabila mengetepikan cabaran Lee Hyun Il 21-14, 21-17.

Gandingan beregu No. 1 dunia, Cai Yun-Fu Haifeng meneruskan rentak kecemerlangan Lin Dan apabila memastikan mata kedua China selepas mencatat kemenangan ke atas Lee Yong Dae-Kim Sa Rang 21-16, 25-23.

Bintang muda China, Chen Long melengkapkan kemenangan China hasil kejayaan menewaskan Shon Wan Ho 21-9, 21-13.

Dengan kemenangan itu, China kini secara keseluruhannya telah merekodkan sembilan kejuaraan pada kempen Piala Thomas sejak ia mula diperkenalkan pada 1949 di Preston, England.
Sebelum ini, China menjulang trofi berprestij itu pada edisi 1982, 1986, 1988, 1990, 2004, 2006, 2008, 2010.

-- kosmo

Bekas pegawai Parti Komunis dituduh perkosa 10 remaja

BEIJING: Polis menahan bekas pegawai Parti Komunis kerana disyaki memperkosa sekurang-kurangnya 10 gadis bawah umur, kata pihak berkuasa dalam satu kes yang menyebabkan kemarahan di Internet.

Kenyataan pihak berkuasa berkata, bekas Timbalan Pengarah Jawatankuasa parti itu di bandar Yongcheng, wilayah Henan, Li Xingong, ditahan atas serangan seksual terhadap gadis bawah umur 18 tahun.


Katanya, “Kes itu akan disiasat dengan serius tanpa kelonggaran dan mengikut undang-undang. Siasatan sedang dijalankan dan pengumuman akan dibuat sebaik saja ada kemajuan.”

Berita itu menyebabkan pengguna web China marah dan semakin ramai berani menyuarakan kemarahan mereka atas salah laku dibuat oleh pegawai parti pemerintah, Parti Komunis. - AFP

Suami Reka Banglo Untuk Lisa Surihani & Bakal Berhenti Berlakon?

Bertuah badan menjadi isteri Yusry KRU. Dalam kenyataan kepada KOSMO! hari ini, Yusry KRU mengakui yang beliau mereka bentuk sebuah banglo untuk Lisa Surihani.

Rumah mewah yang bakal di’diami pasangan ini mengambil tempat di Country Height Resort, Kajang sebuah kawasan perumahan elit & di’jangka siap sekitar Julai 2012 ini.

Menurut Yusry KRU lagi, rumah tersebut sudah pun memulakan pembinaan sekitar November 2012 yang lalu & ketika beliau ajukan tentang hal rumah tersebut kepada Lisa Surihani, dia seakan tidak mahu mengambil tahu.

“Bila dah kahwin, tidak sangka pula cita rasa kami serasi. Jadi, tiada masalah. Kami membeli perabot bersama dan semua cita rasa kami serasi,” ujar Yusry KRU.

Perkembangan berkaitan, Lisa Surihani memberitahu GUA yang drama Dimanakah Juwitaku yang akan bersiaran di Astro Ria mungkin menjadi drama terakhir beliau.

“Kemungkinan selepas drama ini, ia akan menjadi drama siri saya yang terakhir. Saya hanya mahu buat filem dan itupun saya akan lebih memilih,” ujar Lisa Surihani yang turut menafikan Yusry KRU ada campur tangan dalam keputusan ini.

-- Rotikaya