Monday, May 21, 2012

BERSIH 3.0: Anwar didakwa di mahkamah

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Timbalan Presiden, Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham Shaharin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil bahagian dalam protes jalanan,  di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Anwar bersama dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Mahkamah Sesyen 5 pada jam 9.15 pagi.
Bekas peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden - yang mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Liwat 11 terhadap Anwar - kali ini bersama peguam kanan Karpal Singh dalam pasukan peguambela ketua pembangkang itu. Mohd Yusof meletak jawatan dari Jabatan Peguam Negara pada akhir perbicaraan kes liwat tersebut.

Anwar memberitahu Hakim Mahmud Abdullah bahawa pertuduhan tersebut adalah satu lagi kempen "politik" terhadapnya, dan dia tidak mengaku bersalah.

Peguam Karpal dan Yusof, meminta Anwar dibenarkan bon peribadi tetapi ia dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad.

Hakim mengarahkan ikatjamin RM500 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Sementara itu, Azmin yang diwakili oleh peguam Sivarasa Rasiah dan Gurcharan Singh, dan Badrul Hisham, yang diwakili oleh peguam Latheefa Koya, juga telah dikenakan ikatjamin RM500 jamin setiap.

Ketiga-tiga mereka merupakan yang pertama didakwa di bawah Akta Berhimpun Aman yang diluluskan baru-baru ini, di mana Anwar dan Azmin boleh kehilangan jawatan mereka sebagai wakil rakyat jika didapati bersalah.

Mereka boleh didenda RM10,000 jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut. Wakil rakyat secara automatik hilang jawatan jika disabit oleh mahkamah dan didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0 dan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin , Jalan Raja dan Jalan Kelab.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.
Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.

-- Malaysiakini

BERSIH 3.0: Suhakam adakan siasatan awam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan akan menjalankan siasatan awam berhubung dakwaan penggunaan kekerasan tidak sepatutnya oleh pihak polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0.

Dalam satu kenyataan, Suhakam berkata ia memutuskan untuk menjalankan siasatan awam tersebut setelah membuat pertimbangan yang serius.

azlanPanel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi b Haji Abdul Majid dan Pesuruhajaya Detta Samen.

Manakala terma rujukan siasatan awam tersebut adalah:

1. Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas perhimpunan pada 28 April 2012;

2. Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan:

i.Bagaimana pelanggaran itu terjadi;
ii. Apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut; dan
iii.Individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.

3. Untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Ia adalah panel yang sama yang menjalankan siasatan awam terhadap BERSIH 2.0.

"Keputusan ini mengambil kira pemantauan Suruhanjaya semasa kejadian pada 28 April 2012 dan beberapa faktor lain yang berkaitan, termasuk penyerahan aduan, laporan dan  memorandum daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional, serta ahli-ahli masyarakat sivil yang lain kepada Suruhanjaya berhubung dengan perkara itu, yang mana semua telah menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan ke atas kejadian tersebut," Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam.

"Suruhanjaya ingin, tetapi tidak lagi boleh menunggu, pemakluman terma rujukan Panel Bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan kerana masih belum dimuktamadkan.

"Walau apapun siasatan yang akan dijalankan oleh Panel tersebut, adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya untuk menjalankan Siasatan Awam sepertimana mandat yang terkandung dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

-- Malaysiakini

Tan Chong Catat Keuntungan Q1 Lebih Rendah Sebanyak RM46 Juta

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Tan Chong Motor Holdings Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM46.187 juta dalam tempoh suku pertama berakhir 31 Mac, 2012, susut daripada RM105.152 juta yang direkodkan pada suku perbandingan sebelumnya.

Perolehan bagi tempoh suku itu berkurangan kepada RM982.599 juta berbanding RM1.131 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Isnin, syarikat berasaskan industri automotif itu berkata penurunan prestasi itu disebabkan bencana alam yang berlaku dalam tempoh berkenaan, selain peraturan pinjaman Bank Negara Malaysia yang lebih ketat.

Ia berkata kejadian itu menghentikan bekalan dan permintaan.

Perniagaan utama syarikat, segmen perniagaan automotif, mencatat perolehan sebanyak RM972 juta, angka yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya ekoran kekangan stok model popular (seperti Navarra, Grand Livina dan Livina X-Gear) selain kos jualan yang lebih tinggi.



-- BERNAMA

Qantas Airlines To Axe 500 Jobs

SYDNEY, May 21 (Bernama) -- Australia's largest airline Qantas Airways announced Monday that it will cut 500 jobs following a review of its heavy aircraft maintenance and engineering operations in Australia.

The airline said it would consolidate heavy maintenance work into Brisbane in Queensland and Victoria's Avalon, Xinhua news agency reported.

Qantas said the restructure was necessary as there was not enough heavy maintenance work required for three separate facilities and the introduction of new technology and modern aircraft would lead to a further 60 percent reduction in heavy maintenance requirements over the next seven years.

As a result of the restructure, heavy maintenance on Boeing 737 aircraft will move from its base at Tullamarine in Melbourne and be maintained in Brisbane along with B767 aircraft and Airbus A330s, the airline said.

The base at Avalon will continue to maintain Boeing 747s.

The airline said 422 jobs would go from its Tullamarine and 113 positions would be axed at Avalon.

But 30 new line maintenance jobs will be created in Melbourne and five in Sydney, Qantas said.

The airline said consolidating heavy maintenance and other engineering initiatives would save the company up to 100 million AU dollars (US$98.54 million) annually.

One-off costs associated with the restructure will be about 50 million AU dollars (US$49.27 million).

-- BERNAMA

Skuad Bola Sepak Kebangsaan Piala AFF Suzuki Diketahui Julai

PETALING JAYA, 22 Mei (Bernama) -- Barisan pemain bola sepak kebangsaan yang mewakili negara bagi mempertahan Piala AFF Suzuki, hanya akan diketahui selewat-lewatnya Julai depan, kata Ketua Jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal.

Beliau berkata beberapa lagi pemain berpotensi akan dipanggil menjalani latihan pusat bagi melihat keserasian mereka beraksi di atas padang dan membentuk pasukan untuk mempertahan piala yang dimenangi di Indonesia pada 2010.

"Kemungkinan bulan depan atau bulan seterusnya saya akan melihat beberapa lagi pemain sebelum saya memutuskan pemain mana yang akan meneruskan latihan pusat sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Isnin.

Sejumlah 16 daripada 26 pemain dipanggil melapor diri untuk sesi latihan pusat itu manakala bakinya akan menyertai mereka Sabtu ini.

Latihan pusat diadakan sebagai persiapan skuad kebangsaan menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 1 Jun di Stadium Shah Alam, serta dua perlawanan timbal balik menentang Singapura pada 8 Jun di Stadium Jalan Besar, Singapura, dan 12 Jun di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA

Thursday, May 17, 2012

Hoki: Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah Medan Kebangkitan Skuad Hoki Senior - Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Skuad senior hoki kebangsaan perlu menjadikan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dari 24 Mei-3 Jun ini sebagai medan kebangkitan semula prestasi mereka, titah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah kegagalan skuad tersebut dalam beberapa kejohanan sebelum ini perlu ditebus semula dengan mempamerkan aksi permainan yang menghiburkan di hadapan penyokong sendiri.

"Penyerapan pemain skuad muda (skuad Projek 2013) dalam pasukan tersebut, mudah-mudahan mereka (skuad senior) berjaya (dalam kejohanan kali ini) walaupun kita tahu tahap pasukan yang bertanding merupakan antara yang terbaik di dunia dan sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik (London).

"Apa yang perlu kepada skuad (senior) ialah bermain dengan baik (di hadapan penyokong sendiri)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif kepada skuad Projek 2013 yang mencipta kejayaan dengan merangkul Kejohanan Piala Remaja Asia Ketujuh di Melaka minggu lepas.


-- BERNAMA

Dr Asri kini bergelar Datuk

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar adalah antara 316 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun keputeraan ke-69 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata Ismail akan menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SPMP ialah bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Datuk Ir Mohd Noor Yaakob.

Bercakap dalam sidang media khas di pejabatnya semalam, Md Isa berkata Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Kem Kukusan Tawau, Sabah, Brig Jen Mohd Ezam Wan Chik merupakan penerima tunggal anugerah Darjah Dato' Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Tuanku Syed Sirajuddin juga berkenan menganugerahkan Darjah Dato' Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk kepada lima penerima.

Mereka ialah anak saudara Raja Perlis, Datin Tengku Shireen Tengku Sulaiman, bekas Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat Udara Tengku Puan Sri Elena Tengku Kamarul Zaman, Pengarah Quantum-Ed Sdn Bhd Tengku Datin Seri Zalila Tengku Kamarulzaman, Pakar Bedah Mulut, Hospital Kuala Lumpur Dr Wan Mahadzir Wan Mustafa dan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah Kangar Dr Ahmad Nordin Mohd Jais.

Bekas Mufti Negeri Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula ialah penerima tunggal anugerah Dato' Bergelar apabila dikurnai anugerah gelaran Datuk Arif Perkasa.

Md Isa berkata tujuh orang akan menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Perlis (SMP), 18 orang menerima Seri Sirajuddin Perlis (SSP) dan 27 orang menerima pingat Ahli Mahkota Perlis (AMP).

Selain itu, 63 orang menerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), 107 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 66 menerima Pingat Jasa Baik (PJB) dan 18 orang menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Beliau berkata majlis penyampaian anugerah dan pingat akan dilakukan secara berperingkat dengan siri pertama akan berlangsung di Istana Arau hari ini.

-- Bernama