Wednesday, November 23, 2011

Banjir di K'tan makin buruk, dua beradik mati lemas

Banjir di Kelantan semakin buruk apabila dua beradik lelaki menjadi korban manakala dua lagi dikhuatiri lemas, walaupun beberapa keadaan di tempat lain dilaporkan semakin reda sehingga malam semalam.

Jabatan Bomba Kelantan melaporkan dua beradik itu maut di Bachok petang semalam manakala dua lagi mangsa dikhuatiri lemas di Pasir Mas.

Jumlah mangsa yang dipindah bertambah dari 227 kepada 416 orang di sembilan pusat pemindahan di daerah Kota Bharu (Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong, SK Tiong dan Sekolah Menengah (SM) Melor), Pasir Mas (SK Bukit Jarum dan Masjid Gabus), Pasir Puteh (SK Bukit Awang) dan Tanah Merah (SK Kulim, Madrasah Padang Kija dan Madrasah Becah Palas Lubuk Agor)

Selain itu, lalu lintas ditutup kepada semua kenderaan di Machang (Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata), Pasir Puteh (Kilometer 1 Jalan Banir Belikong-Tasik Pauh) dan Tanah Merah (Kilometer 3, Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh).

Empat sungai utama pula berada di paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Di Terengganu, keadaan banjir tidak menghalang hampir 50 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia menaiki bot ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Hulu Terengganu apabila kampung mereka ditenggelami air.

Jumlah mangsa yang dipindahkan menurun dari 1,406 orang (Setiu, 671; Besut, 560 dan Hulu Terengganu, 175) pada tengah semalam kepada 1,296 orang (Setiu, 829; Besut, 362; dan Hulu Terengganu, 105) malam tadi, manakala 25 pusat pemindahan masih beroperasi di Besut (12), Hulu Terengganu (2) dan Setiu (11).

Paras air sungai di beberapa tempat juga dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu di Setiu (Kampung Langkap, Jambatan Permaisuri dan Jambatan Calok), Hulu Terengganu (Kuala Ping dan Kuala Jengai) dan Besut (Kampung La).

Di Johor, seramai 16 mangsa banjir terdiri daripada tiga keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Cahaya, Air Hitam sehingga petang semalam.

Amaran merah

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam kenyataan media berkata amaran hujan lebat di beberapa tempat di Terengganu dan Pahang ditingkatkan dari peringkat jingga ke peringkat merah di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Antara kawasan yang terlibat di Terengganu ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman serta Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin di Pahang.

Amaran hujan lebat peringkat jingga pula dikeluarkan di beberapa tempat di Kelantan di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan akan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Antara tempat yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Amaran peringkat kuning juga dikeluarkan di Kedah dan Perlis di mana hujan sekejap-kejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Kawasan terlibat ialah Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis manakala di Kedah ialah daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dengan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 km sejam (kmsj) dan ombak setinggi 4.5 meter diramal berterusan sehingga Selasa depan di perairan Kelantan, Terengganu, Samui (Kelantan dan Terengganu), Condore dan Reef North (sekitar kawasan perairan Laut China Selatan) dan Pulau Layang-layang.

Amaran sama kategori pertama dengan kelajuan angin kencang Timur Laut 40-50 kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter juga dijangka berterusan sehingga Selasa di kawasan perairan Pulau Langkawi, Perlis, Utara Kedah, Pahang dan Johor Timur.

Tempat lain yang terlibat ialah perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalamaan, Pantai Barat dan Kudat), Phuket, Tioman, Bunguran (antara Semenanjung dan Kuching), Reef South (sepanjang perairan Sarawak) dan Palawan (utara Sabah).

Jabatan Meterologi Malaysia turut memaklumkan bahawa kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan Pantai Timur Semenanjung sehingga hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan bot kecil.

- Bernama

No comments:

Post a Comment