Wednesday, August 3, 2011

Kad Hawa Tawar Perlindungan Insurans Hingga RM10,000

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Golongan wanita berumur 18 hingga 45 tahun kini berpeluang mendapat perlindungan insurans sehingga RM10,000 menerusi pemilikan Kad Hawa dengan kadar bayaran permulaan sebanyak RM10.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata Kad itu meliputi perlindungan ragut, kematian akibat kemalangan atau hilang keupayaan kekal, kehilangan wang tunai dan barang peribadi berharga serta rompakan di Mesin Pengeluaran Wang (ATM).

"Walaupun jenayah ini diklasifikasi sebagai jenayah kecil, ia juga boleh membawa maut seperti beberapa kes yang mendapat liputan akhbar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Hawa itu di sini.

Beliau berkata program dengan kerjasama RealRewards itu diperkenalkan khas bagi melindungi wanita yang sering menjadi sasaran utama dalam jenayah itu dan ia juga seiring dengan kempan Banteras Ragut dan Rogol (B2R) yang diperkenalkan pergerakan itu baru-baru ini.

Rosnah berkata perlindungan insurans untuk tahun pertama adalah percuma dan pemegang kad perlu memperbaharui kad itu untuk tahun seterusnya.

Selain itu, beliau berkata pemegang kad juga dapat mengumpul mata ganjaran dan memperoleh diskaun dari 1,300 rakan niaga RealRewards, antaranya KK Home Deco, Cars International, KL Bird Park dan beberapa syarikat produk kecantikan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment